SEMUA orang mempunyai peranan dan kewajipan tersendiri yang perlu ditunaikan.
Tidak kiralah kewajipan sebagai hamba kepada Sang Pencipta, pekerja, suami, isteri, anak mahupun kakak atau abang.
Namun, dari konteks kewajipan sesama muslim, apa yang perlu kita lakukan?
Rasulullah SAW bersabda:"Kewajipan seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah lima perkara iaitu menjawab salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apabila sudah dikatakan sebagai kewajipan, maka sekiranya ada orang memberi salam, wajib untuk kita atau yang mendengarnya menjawab salam tersebut. Jika tidak, berdosalah kita.
Begitu juga apabila kita menerima perkhabaran orang sakit sama ada di rumah atau hospital. Wajib si penerima khabar itu menziarahi orang sakit.
Sesungguhnya besar ganjaran pahala yang diberikan ALLAH SWT kepada mereka yang menziarahi orang sakit, seolah-olah individu itu sedang mengumpulkan hasil kebun syurga selama mana dia menziarahi orang sakit.
Lagi satu, saat kita mendengar berita tentang kematian seseorang, jangan lupa untuk menzirahi keluarga si mati dan doakanlah supaya jenazah mendapat keampunan ALLAH SWT.
Bagi yang menerima undangan daripada seseorang sama ada jiran, saudara-mara, kenalan jauh atau sesiapa sahaja yang mengadakan sesuatu majlis, kita wajib memenuhinya jika berkelapangan.
Seperkara lagi, jangan lupa mendoakan orang yang bersin.
Meskipun kelihatan remeh tetapi ia sebenarnya satu kewajipan buat kita.
Tujuan kita berdoa selepas bersin adalah untuk meminta perlindungan kepada ALLAH SWT daripada syaitan.
Sama-samalah kita tunaikan kewajipan tersebut.
Semoga kita peroleh ganjaran daripada ALLAH SWT.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)