Venezia Suite fokus pelanggan Bumiputera

Iklan
Nurul Huda menerangkan aspek kualiti di bahagian dalam tilam yang ditawarkan di VS.
SYARIKAT pembekal tilam dan bantal hotel, Venezia Suite (VS) optimis pelanggan dalam kalangan Bumiputera meningkat sehingga 90 peratus menjelang penghujung tahun ini.

Pengurus Besar VS, Nurul Huda Zainal Abidin, 33, berkata, syarikat memfokuskan pelanggan dalam kalangan Bumiputera kerana mahu memberikan pilihan kepada mereka mendapatkan tilam dan bantal pada kualiti terbaik setaraf hotel yang mana segmen perniagaan sebegini lebih diterajui oleh pembekal atau pengusaha bukan Bumiputera.

"Selain menjual produk, kami juga mahu memberi kesedaran kepada pelanggan mengenai kepentingan mencari tilam yang sesuai mengikut berat badan dan umur kerana penggunaan tilam berkait rapat dengan kesihatan khususnya tulang belakang," katanya ketika ditemui di premisnya yang terletak bersebelahan Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, tanggapan ramai bahawa tilam yang berkualiti pasti mahal adalah sebagai kurang tepat.

"Tilam yang berkualiti bukan terletak pada nilai wang semata-mata. Pencarian tilam yang baik perlu sesuai dengan berat badan, umur dan keperluan. Di VS, kami amat menitik beratkan hal ini. Kami akan memberi penerangan terperinci kepada setiap pelanggan berkenaan tilam apa yang sesuai dengan mereka.

"Sesetengah tilam yang kelihatan tebal dan empuk kadang-kala hanya boleh menampung berat sekitar 80 sehingga 90 kilogram (kg) sahaja. Ada juga tilam yang tebal kurang sesuai dengan mereka yang berusia 45 tahun ke atas.

"Terdapat juga tilam yang berharga mahal tetapi tidak sesuai dengan mereka yang menghidapi masalah sakit tulang belakang. Maklumat sebegini ramai pelanggan tidak tahu.

"Justeru, di VS kami akan memberi penerangan terperinci kepada pelanggan mengenai tilam mana yang sesuai. Kami tidak mahu pelanggan tersilap pilih tilam yang akhirnya merugikan mereka. Malah, semua produk tilam VS telah dipatenkan sebagai 'back care system'," katanya.

Tambahnya, harga yang ditawarkan VS untuk semua produk tilam dan bantal adalah jauh lebih berbaloi berbanding harga di pasaran.

Kaji dalam tilam

Demi memastikan kualiti tilam memuaskan pelanggan, Nurul Huda berkata, dia amat menitik beratkan perihal bagaimana sesebuah tilam itu dibuat.

"Di VS, saya akan mengkaji dan memastikan setiap spring tilam dipasang mengikut paten yang selamat untuk tulang belakang. Malah, tilam kami mengandungi lapisan fiber kelapa yang tebal pada permukaan spring sebelum dilapisi dengan foam bagi memastikan jangka hayat tilam bertahan antara 10 sehingga 15 tahun serta mesra pada tulang belakang saat tidur," katanya.

Tambahnya, sebelum mengusahakan perniagaan sendiri, beliau pernah bekerja di salah sebuah hotel terkemuka dalam negara.

"Ketika itu, saya dipertanggungjawabkan dalam urusan pembelian tilam. Saya ditugaskan untuk mengkaji kualiti tilam khususnya aspek rekaan dan material pada bahagian di dalam tilam.

"Dalam sektor perhotelan, keselesaan pelanggan adalah keutamaan, lebih-lebih lagi apa yang ditawarkan di dalam kamar hotel dan tilam adalah satu kemestian. Menerusi pengalaman dan kepakaran semasa berkhidmat makan gaji itulah saya gunakan untuk mengendalikan perniagaan sendiri," katanya.

Ejen dan stokis

Nurul Huda berkata, VS membekalkan tilam dan bantal untuk hotel kerana produk kelengkapan tidur yang ditawarkan menepati kualiti diperlukan oleh sektor perhotelan. Namun, pembeli dalam kalangan individu juga amat memberangsangkan kerana mereka berpuas hati dengan kualiti yang ditawarkan.

"Kami turut sasar membekalkan tilam dan bantal kepada hostel, asrama sekolah, rumah inap dan hospital. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan mana-mana agensi untuk bekerjasama dengan VS dalam usaha meramaikan lagi bilangan pembekal tilam dan bantal hotel dalam kalangan usahawan Bumiputera," katanya.

Tambahnya, dalam usaha meluaskan pasaran, VS turut menyasarkan seorang ejen dan seorang stokis dalam kalangan Bumiputera di setiap negeri menjelang akhir tahun ini.

Tilam Hotel Nur

Sementara itu suaminya, Yasir Selamat, 32, yang bertanggungjawab menguruskan bahagian logistik, pemasaran dan operasi syarikat memberitahu, selain tilam, VS turut menawarkan katil mengikut kehendak pelanggan.

"Pelanggan boleh pilih beberapa rekaan katil, corak serta fabrik disukai. Ini adalah tawaran eksklusif untuk pelanggan," katanya yang memberitahu VS menawarkan lebih daripada 20 rekaan bingkai katil.

Jelasnya, sempena Aidilfitri tahun ini, VS memberikan tawaran istimewa untuk pembelian tilam berharga RM1,500 dan ke atas.

"Pelanggan berpeluang mendapatkan sama ada sebuah tilam lipat (foam), bantal bulu angsa atau bantal peluk (latex). Kos penghantaran adalah percuma di sekitar Lembah Klang.

"Sementara untuk tilam terbaharu VS iaitu Hotel Nur, penghantaran adalah percuma di seluruh Semenanjung Malaysia. Tawaran ini tamat sehingga penghujung Syawal nanti.

"Tilam Hotel Nur diperkenalkan pada April 2019. Tilam ini mempunyai ketebalan 10 inci dengan lapisan fiber kelapa lebih tebal," katanya sambil memberitahu tilam Hotel Nur hanya boleh di dapati di VS.