KILIS - Mendengar sendiri kisah perjuangan, pengorbanan, kehilangan dan penderitaan yang dilalui mangsa perang Syria sememangnya amat menyayat hati.
Trauma mereka sejak tercetus konflik di Syria yang sudah memasuki tahun kesembilan itu amat mendalam dan melukakan sehinggakan ada mangsa hampir buta kerana menangisi ahli keluarga yang terkorban.
Bahirah Atuk, 85, dari Aleppo yang kehilangan empat ahli keluarganya dalam peperangan di Aleppo, Syria, lima tahun lalu kini lumpuh separuh badan.
Warga emas yang tidak lagi jelas butir percakapannya itu kehilangan suami, anak lelaki dan dua menantu lelaki di depan matanya akibat konflik perang saudara tersebut.
"Moga mereka ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan ibu menjadi ibu para syuhada,” kata anak perempuan Bahirah, Muna Akam, 50, yang kini menetap dan menjaga ibunya di pinggir bandar Kilis, tidak jauh dari sempadan Turki-Syria.
Kisah kehilangan anggota keluarga Bahirah yang diceritakan Muna amat menyedihkan sukarelawan tim Misi Ramadan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia serta wartawan BERNAMA yang menziarahi rumah pelarian Syria itu dua hari lalu.
Ketika kami tiba di rumah pelarian Syria itu, Bahirah sedang solat zuhur di ruang tamu kecil rumahnya walaupun dalam keadaan lumpuh.
Di muka pintu rumah, Muna menangis sambil menceritakan kisah ibunya yang kehilangan empat ahli keluarga akibat perang sambil beliau mendoakan kebaikan sukarelawan Malaysia yang datang dari jauh untuk membantu.
Wartawan BERNAMA juga sebak melihat keadaan Bahirah yang sudah bongkok dimamah usia namun tekun bersolat walaupun dalam keadaan lumpuh.
Penterjemah yang juga pelarian Syria, Ola daripada Bonyan Organisation, turut menitiskan air mata melihat keadaan keluarga itu yang menyayat hati.
"Ibu ini kehilangan suami dan anak-anaknya di depan mata,” kata Ola.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang pada awalnya nampak tenang turut sebak manakala Presiden MVM, Muhammad Jantan hanya mampu duduk dan terdiam di sebelah warga emas itu.
"Kisah pelarian Syria ini mengingatkan saya tentang kisah Khansa binti Amr yang empat anaknya gugur ketika Perang Qadasiyah di zaman Rasulullah SAW,” kata Ahmad Fahmi yang berkaca matanya.
Khansa binti Amr digelar"ibu para syuhada” apabila beliau menggalakkan anak lelakinya berjihad kerana agama Allah malah beliau dikatakan tidak sedih sebaliknya berbangga dengan pengorbanan anaknya yang gugur di medan perang.
"Mereka (keluarga Bahirah) tidak mempunyai ketua keluarga, tidak punya punca pendapatan hidup, kerana itu kita perlu teruskan bantuan kepada keluarga ini,” kata Muhammad yang turut terkesan dengan kisah pelarian Syria itu.
Keluarga Bahirah antara 1,000 penerima bantuan bekalan makanan untuk tempoh sebulan sumbangan rakyat Malaysia menerusi kempen bantuan Ramadan MVM, GPM dengan kerjasama Malaysia Life Line For Syria.
Konflik perang saudara Syria bermula dengan penentangan sivil pada Mac 2011 dan sehingga kini mengorbankan lebih 400,000 nyawa dengan lebih 11 juta rakyatnya menjadi pelarian di dalam dan luar Syria. - Bernama