SHAH ALAM - Beberapa keping foto tangkap layar tular di media sosial memaparkan kes kecurian rim yang dilaporkan semakin kerap berlaku di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya.
Kemaskini status yang dimuat naik melalui laman Facebook Info Komuniti Putrajaya & Cyberjaya turut mengingatkan supaya orang ramai dan penduduk di kawasan sekitar agar dapat berhati-hati dengan kegiatan itu yang semakin berleluasa.
Selain itu, status yang dimuat naik sejak semalam juga telah mendapat sebanyak 786 perkongsian dan 354 komen daripada netizen sehingga jam 1 tengah hari tadi.
Menurut seorang netizen, Amirul Zulkifli, dia juga pernah berhadapan dengan situasi itu apabila rim keretanya dicuri oleh pihak tidak bertangungjawab sebelum ini.
"Pernah kena juga macam ini. Kereta diparkir berhadapan Hospital Putrajaya," katanya.
Marsha Khana turut berkongsikan pengalamanya sebelum ini apabila rim kereta miliknya dicuri sewaktu diparkir di kediamannya yang terletak sekitar Presint 17.
"Saya pun pernah kena di Presint 17. Suspek tak sempat nak ambil rim depan sahaja. Kejadian sebegini memang sudah berlaku sejak tahun lepas lagi. Tak sangka makin teruk," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan bahawa pada bulan ini sahaja, sebanyak lima kes kecurian rim kereta telah direkodkan.
Rosly berkata, buat masa ini polis sedang berusaha mengumpul maklumat bagi mengesan suspek yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya dapat meletakkan kenderaan di tempat yang terang dan tidak membiarkannya di kawasan terpencil," katanya.