PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan membawa keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) serta penyeludupan dadah ke Indonesia menerusi Ops Pagar Laut di jarak 0.3 batu nautika dari Pulau Ketam, di sini, tengah malam tadi.
Pengarah APMM Negeri, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, operasi kira-kira jam 12.10 tengah malam itu berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca berwarna biru dalam keadaan mencurigakan menuju ke Pulau Angsa dari Pulau Ketam.
Menurutnya, menyedari kehadiran APMM, tekong bot terbabit bertindak memecut bot ke arah tebing hutan paya bakau di Sungai Lima.
"Tekong bot terbabit kemudian berjaya melarikan diri bersama beberapa lelaki dengan meninggalkan tiga wanita warga Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri di dalam bot itu.
"Pemeriksaan lanjut di dalam bot enjin 40 kuasa kuda itu menjumpai satu beg hitam disyaki berisi lima bungkusan plastik dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.5 kilogram bernilai RM100,000," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat APMM Pelabuhan Klang, di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, sebuah lagi bot gentian kaca berjaya dikesan di kawasan berhampiran dan berjaya membuat tangkapan seramai enam lelaki serta dua wanita warga Indonesia yang juga dipercayai dalam perjalanan menuju pulang ke kampung masing-masing.
Mengulas lanjut, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kaitan kedua-dua buah bot yang ditahan.
Katanya, pihaknya percaya dadah ini akan dipasarkan di Indonesia. Soal siasat masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dadah terbabit adalah milik wanita atau tekong berkenaan.
"Ini adalah modus operandi baru di mana tekong membawa dadah sekali dengan PATI," katanya.
Tambahnya, kesemua PATI berusia 24 hingga 60 tahun ini kini direman lima hari sehingga Jumaat.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.