IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengeluarkan notis larangan menghentikan kerja-kerja ‘commisioning’ saluran paip gas susulan kejadian meragut nyawa seorang lelaki warga Bangladesh, kelmarin.
Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, notis itu dikeluarkan setelah kontraktor gagal mengemukakan prosedur kerja selamat di dalam ruang terkurung bagi projek pengagihan gas asli sepanjang 14km itu.
Menurutnya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Majikan dinasihatkan untuk mematuhi Tata Amalan Industri Bekerja Di Dalam Ruang Terkurung 2010.
"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif termasuk mengikut kaedah dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
"Semua majikan digesa untuk mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sabtu lalu, seorang pekerja warga Bangladesh berumur 27 tahun maut sementara dua rakan sekerjanya tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja penyelenggaraan saluran paip gas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh - Lumut di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, dua tidak sedarkan diri terhidu gas beracun