PENYANYI, Daus Eli, 31, memberitahu meskipun sudah bercerai dengan isteri, Syaza Shamimi Jalaludin Khan, 32, namun, perhubungan mereka masih baik.
Menurut bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), mereka selalu berhubung menerusi applikasi WhatsApp sekadar untuk bertanya khabar tentang anak-anaknya.
"Selepas lima tahun bergelar suami orang dan bila sudah solo semula ini, jujur saya rasa lain, masih tak biasa lagi. Mana tidak, selama tempoh itu hidup banyak diuruskan oleh bekas isteri.
"Tapi, saya sekarang ini saya sudah move on lah dan belajar balik hidup berdikari macam orang bujang.
"Benda sudah lepas jangan dikenang. Malah, hubungan saya dengan dia pun masih lagi baik dan selalu hubungi dia menerusi WhatsApp untuk tanya khabar anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.
Daus ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Faidhi Group & Co. di TAMU Hotel and Suits Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada Ahad lalu.
Untuk rekod, Daus berkahwin dengan Syaza pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak iaitu Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz kini berusia empat bulan.
Terdahulu, Daus mengesahkan sudah bercerai talak satu dengan isterinya di Mahkamah Syariah Bintulu, pada awal Februari lalu.
Dalam perkembangan nyanyian, Daus bakal keluar dengan single terbaharu berjudul, Takdir Kita ciptaan penuh sendiri yang dijangka selepas hari raya.