20 pelajar ILP jayakan kempen keselamatan jalan raya

Iklan
Thurkah (kiri) turut menjayakan kempen kesedaran di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam tadi.

BATU KAWAN - 20 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menjayakan kempen advokasi keselamatan jalan raya sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Program berlangsung di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam itu disertai pelajar semester kedua Kursus Teknologi Automotif ILP Perai.

Iklan
Iklan

Pengarah JKJR Pulau Pinang, M Thurkah Thevi berkata, kempen tersebut dianjurkan bersama pihaknya dengan JKSB bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya, pelajar ILP tersebut menjalankan pemeriksaan asas ke atas motosikal yang melalui jambatan itu secara percuma.

Iklan

"Hari ini kita adakan advokasi untuk penunggang motosikal dan pemandu kenderaan. Dalam masa sama kita buat pemeriksaan ringkas dan lekatkan pelekat.

"Selain itu, kita sediakan 10 buah topi keledar dan 15 jaket keselamatan untuk diedarkan.

Iklan

"Mana-mana penunggang motosikal yang didapati perlu menukar topi keledar, kita berikan yang baru secara percuma. Sementara yang memakai baju gelap, kami beri jaket keselamatan supaya mereka berada dalam keadaan selamat ketika berada di jalan raya," katanya ketika ditemui tadi.

Penunggang motosikal juga dibekalkan pelekat keselamatan pada kenderaan mereka.

Beliau ditemui ketika menyertai kempen tersebut di Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam laluan motosikal, di sini.

Tambahnya, selain topi keledar dan jaket keselamatan, pihaknya juga mengedarkan 150 beg kudap-kudapan yang mengandungi kuih raya, risalah tip keselamatan dan pelekat.

"Kempen ini untuk hari ini sahaja namun pelancaran kempen advokasi keselamatan jalan raya peringkat negeri akan diadakan pada 29 Mei ini di Sungai Dua, Seberang Perai Utara," katanya.

Thurkah (kiri) turut menjayakan kempen kesedaran di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam tadi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Teknologi Automotif ILP Perai, Khairul Fhazuwan Amanah berkata, jemputan tersebut adalah kali pertama pihaknya menyertai kempen tersebut.

Menurutnya, kesemua pelajar tersebut membuat pemeriksaan asas motosikal seperti bateri, angin, tayar, lampu signal dan cermin sisi bagi membantu penunggang motosikal mengetahui keadaan motosikal mereka.

"Program seperti ini amat bagus kerana ia memberi pendedahan kepada pelajar dunia sebenar alam pekerjaan. Ia juga dapat membantu pelajar menjalankan praktikal pemeriksaan motosikal.

"Sebelum ini kita banyak bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta swasta, tapi ia lebih kepada pemeriksaaan kenderaan.

"Namun ini merupakan kali pertama kami menjalankan pemeriksaan motosikal percuma dengan kerjasama JKJR dan JKSB," katanya.