IPOH - Orang ramai diminta tidak lagi membuat sebarang spekulasi berhubung isu pertukaran exco kerajaan negeri sebagaimana yang sedang hangat diperkatakan hari ini.
Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, sebarang pengesahan berhubung perkara berkenaan hanya akan diputuskan oleh Menteri Besar Perak serta pimpinan tertinggi PH.
"Saya sendiri tidak ada idea atau maklumat mengenai apa yang disiarkan di media (berhubung isu berkenaan) setakat ini.
"Namun, apa yang saya tahu, setakat ini tidak ada sebarang pertukaran. Kami semua (exco) masih kekal,” katanya di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata demikian sempena Program Gotong Royong Bubur Lambuk Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di Atrium Gemilang JPN.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Rosli Ahmad.
Abdul Aziz berkata demikian berhubung isu pertukaran exco kerajaan negeri yang berkemungkinan juga akan melibatkan dirinya sebagaimana yang hangat diperkatakan hari ini.
Sementara itu, Abdul Aziz berharap agar semua pihak dapat terus bekerja dan memberikan fokus kepada pembangunan negeri dan tidak hanya menumpukan kepada spekulasi-spekulasi sedemikian.
"Kami semua adalah wakil kepada rakyat. Jika kami perlu ‘pergi,’ kami akan pergi dan tak ada isu.
"Tunggu sahajalah, tak payah nak buat spekulasi,” katanya.