PERSATUAN Angkat Berat Kedah Darul Aman perlu meningkatkan usaha dalam melakukan kejutan dengan sasaran meraih lebih banyak jumlah kutipan pingat emas bagi acara sukan tersebut pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020.
Exco Belia dan Sukan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, sukan tersebut telah menyumbangkan sebanyak tiga pingat emas buat kontinjen Kedah pada Sukma 2018 di Perak dan beliau berharap akan ada peningkatan jumlah kutipan pingat emas pada tahun hadapan.
Menurutnya, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pengurusan dan semua atlet angkat berat dilihat mampu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Kedah dalam sukan angkat berat kira-kira 10 tahun lalu.
"Saya yakin sukan angkat berat Kedah akan kembali semula ke puncak berdasarkan komitmen yang ditunjukkan walaupun rata-rata atletnya masih baru. Jika berdisiplin dan bercita-cita tinggi, InsyaALLAH mereka akan mampu melakukannya dan saya yakin dengan perkara tersebut," katanya kepada Sukan Sinar selepas Majlis Iftar 2019 Persatuan Angkat Berat Kedah Darul Aman di Restoran Anjung Kuala, di sini, semalam.
Menurut Mohd Asmirul, pihaknya kini dalam usaha memberikan perhatian kepada semua persatuan sukan dan pengiat sukan di Kedah.
"Kita mahu memperkemaskan dan memperkuatkan persatuan-persatuan termasuk Persatuan Angkat Berat Kedah Darul Aman dan proses-proses tersebut kini sedang berjalan. Kami mahu mereka memberikan kerjasama sebaik mungkin kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan juga Kerajaan Negeri Kedah.
"Kami melihat apa yang sedang dilakukan oleh sukan angkat berat di Kedah sedang berada pada landasan yang betul apabila berjaya membina ukhwah dan mengukuhkan persatuan itu sendiri. Mereka mempunyai cita-cita besar dalam sukan ini dan sedang berusaha untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu untuk Sukma, Asia dan juga Olimpik," katanya.
Hadir sama pada majlis berbuka tersebut adalah Presiden Persatuan Angkat Berat Kedah Darul Aman, Ismasuhaimi Shariff dan Pengarah Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM), Zaim Ahmad.