PENYANYI utama Kumpulan The Swallows era 60-an, Allahyarham Kassim Rahmat, atau lebih dikenali sebagai Kassim Selamat, yang meninggal dunia semalam tidak sempat merakamkan dua lagu ciptaannya dalam bahasa Bawean.
Menceritakan hal itu, adik kepada Allahyarham, Abdolah Lamat berkata,"Saya akan pastikan lagu ciptaan abang saya ini akan menjadi kenyataan.
"Mungkin kita beri peluang kepada penyanyi muda untuk mendedangkannya nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.
The Swallows, kumpulan gitar rancak, dulu lebih sering dipanggil ‘kugiran’, mempunyai keunikan tersendiri kerana selalu mempopularkan lagu-lagu dalam bahasa Bawean.
Antara lagu-lagu itu ialah La Obe, Nga lompak AGo Go, Angkok Angkok Bilis, La Karebna, Leh Paju Molle dan La Ngomber.
Menurut Abdolah, abangnya menggunakan nama"Kassim Selamat” sempena watak"Kassim Selamat” dari filem ‘Ibu Mertuaku’ yang dibawa oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Allahyarham Kassim, 84, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.30 petang di rumahnya di Yishun, Singapura.
Allahyarham, anak kedua dari sembilan orang adik beradik, meninggalkan seorang isteri Radiah Hadar dan empat orang anak.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Abadi, Choa Chu Kang di sini hari ini.
"Urusan pengebumian berjalan baik. Allahyarham selamat dikebumikan sekitar jam 11.30 pagi,” kata Abdolah, 72.
Beliau berkata dua pemain gitar Kumpulan The Swallows dan penyanyi A Romzi turut hadir di majlis pengebumian.
"Penyanyi Mahani Mohamed hadir ziarah di rumah,” katanya. - Bernama