IPOH - Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar diminta untuk mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletak jawatan Naib Presiden PKR serta Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak, Farhash Wafa Salvador berkata, permintaan berkenaan dibuat demi masa hadapan parti berikutan Nurul Izzah telah diberikan kepercayaan berdasarkan kepada kredibiliti serta kualiti usaha yang dilaksanakannya selama ini.
"Kepimpinan PKR Perak yang merangkumi semua Cabang, Bahagian, Angkatan Muda Keadilan (AMK), dan Wanita dengan jelas ingin Nurul Izzah mempertimbangkan semula keputusannya dan menarik kembali peletakan jawatannya demi kepentingan parti, gabungan dan negara ini.
"Kami menilai kredibiliti dan kualiti usaha beliau di dalam parti dan untuk negara, tiada isu nepotisme atau kronisme tapi Nurul Izzah adalah digemari ramai dari segi merit kepada parti di peringkat negeri dan kepimpinan tertinggi nasional.
"Kepercayaan yang telah diberi kepada beliau oleh ahli-ahli parti juga menggesa untuk mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat demi masa depan kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Farhash berkata demikian bagi mengulas berhubung pengumuman peletakan jawatan Nurul Izzah selaku Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang, semalam.
Untuk rekod, Nurul Izzah telah berjuang untuk PKR sejak 1999 dan kini menjadi tokoh paling popular selepas ayahnya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila memenangi jawatan Naib Presiden dengan mendapat 80,000 undi, dan 20,000 majoriti undi.
Farhash turut menyifatkan kesemua anggota parti serta pimpinan di Perak mengakui sumbangan Nurul Izzah dan menghormati keputusannya untuk memperlihatkan prinsip lebih penting dari jawatan dan keuntungan peribadi.
Bagaimanapun katanya, peletakan semua jawatan dalam parti, akan memberikan penampilan yang lebih adil dan objektif dari segi luaran, namun adalah lebih bermanfaat sekiranya pembaharuan dalam parti dan peringkat dapat diketuai oleh Nurul Izzah sendiri.
"Ini kerana sfera politik kita telah dibanjiri dengan peristiwa-peristiwa yang menghalang tumpuan kepada pembaharuan kerana apa yang telah berlaku sejak memenangi pilihanraya umum dan pemilihan parti baru-baru ini sudah pasti membuatkan sesetengah akar umbi di ambang keraguan.
"Kami memahami keputusan awalnya dan menghormati niatnya tetapi sekarang adalah masa untuk berdiri bersama dan menjalankan reformasi di setiap negeri secara kolektif dan yang paling penting adalah untuk menunjukkan kepada negara kita apa itu demokrasi matang,” katanya.