KUALA LUMPUR - Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) diminta untuk mengemukakan terus aduan berhubung bil elektrik yang tinggi ke Kedai Tenaga.
TNB dalam satu kenyataan berkata, ini kerana data pengguna hanya boleh diakses di Kedai Tenaga.
"TNB ambil maklum mengenai rungutan di media sosial berkaitan bil elektrik yang tinggi. TNB juga telah pun mula menerima dan melayani aduan mengenai perkara ini yang dikemukakan terus di Kedai Tenaga.
"Bagaimanapun, tiada penjelasan umum dapat diberikan kepada rungutan tersebut kerana setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu dan ia berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, TNB memohon kerjasama pengguna terlibat untuk berurusan terus dengan Kedai Tenaga berdekatan," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Katanya, pegawai perkhidmatan di Kedai Tenaga bersedia menghulurkan bantuan, memperincikan sebarang kemusykilan dan membantu menyelesaikan permasalahan pengguna.
"Pengguna dinasihatkan supaya membawa bil masing-masing untuk memudahkan urusan semakan.
"TNB memberi jaminan bahawa jika berlaku terlebih caj, jumlah lebihan tersebut akan dikreditkan ke dalam bil pengguna pada bulan berikutnya," katanya.
Sebelum ini, ramai pengguna media sosial mendedahkan bil elektrik mereka melambung tinggi.
Bagaimanapun, TNB menjelaskan jumlah bil elektrik yang perlu dibayar adalah berdasarkan kepada bacaan meter.
Menerusi soalan lazim (FAQ) dalam laman sesawang TNB, sekiranya meter dibaca melebihi tempoh 31 hari, maka TNB akan menggunakan pengiraan secara prorata berdasarkan bilangan hari pembilan.