KUANTAN - Seorang pemandu bas dari Indera Mahkota di sini tidak menyangka cubaan pertama beliau memasuki pertandingan cabutan bertuah membuahkan hasil apabila terpilih memenangi sebuah motosikal Yamaha Y15 di Bazar Ramadan Bukit Sekilau di sini semalam.
Tengku Azni Zazillah Tengku Ismail, 47, berkata, beliau membuat pembelian tudung buat isteri dan mengisi borang cabutan bertuah itu seminggu yang lalu.
"Isteri, (Rohana Daud, 39) nak beli tudung viral, jadi kami datang sekeluarga beli di sini.
"Masa isi borang, saya beritahu anak-anak nanti doakanlah, mana tahu ada rezeki cabutan bertuah dapat motosikal.
"Alhamdulillah berkat doa anak-anak dan belanja isteri akhirnya dapat juga motosikal dihajatkan," kata bapa kepada empat anak berusia enam hingga 16 tahun ini.
Menurutnya, itu kali keempat beliau sekeluarga berkunjung ke Karnival Riuh Raya Ramadan 2019 yang julung kali diadakan di Bukit Sekilau di sini.
Katanya, tiga lagi kupon didaftarkan atas nama isteri dan berharap cabutan bertuah terakhir yang akan diadakan pada 3 Jun nanti berpihak kepada isteri pula.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Tani Indera Mahkota Kuantan, Mohd Khairul Hisham Omar berkata, setiap minggu karnival tersebut memperuntukkan hadiah cabutan bertuah berupa pakej umrah bernilai lebih RM7,000, motosikal Yamaha Y15 bernilai lebih RM8,000 dan Perodua Bezza (RM30,000).
Berdasarkan trend kedatangan pengunjung yang semakin meningkat sejak malam 15 Ramadan, pihaknya optimis menyasarkan keseluruhan 150,000 kunjungan orang ramai bagi tahun 2019.
"Syarat mudah kelayakan cabutan adalah dengan hanya melakukan pembelian minima RM100 untuk sekeping kupon dan borang yang perlu diisi," katanya.
Terdahulu Karnival Riuh Raya Ramadan anjuran persatuan tersebut berpengkalan di pekarangan stadium selama tujuh tahun berturut turut sebelum ini berpindah ke Bukit Setongkol tahun ini.
Mohd Khairul Hisham berkata, persatuan memperuntukkan RM500,000 sebagai modal membuka kawasan niaga itu yang dahulunya hanya tanah yang dipenuhi semak samun.
Kira-kira 500 gerai dan peniaga pelbagai jualan berada di situ sehingga malam 1 Syawal dengan kapasiti parkir sehingga 400 kenderaan pada satu-satu masa.