MAARET AL-NUMAN - Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh dalam serangan udara rejim Bashar Al-Assad di barat laut Syria semalam.
Antara yang maut termasuk seorang budak perempuan ketika bom rejim menggegar sebuah pasar di Maaret Al-Numan di wilayah Idlib, kata Pemerhati Hak Asasi bagi Syria (SOHR).
Idlib adalah benteng terakhir kumpulan militan di Syria.
Wilayah itu sepatutnya dilindungi daripada serangan besar-besaran kerajaan susulan perjanjian zon penampan pada September lalu.
Namun kubu kuat pembangkang itu menyaksikan peningkatan serangan oleh rejim dan tentera Rusia sejak penghujung April.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Hamdu Mustafa berkata, sebelum serangan orang ramai memenuhi jalan-jalan utama bagi urusan jual beli.
"Jet rejim menyasarkan orang awam yang membeli makanan untuk anak-anak mereka," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim dilaporkan menawan kembali pekan Kafr Nabuda di utara wilayah Hama.
Kafr Nabuda jatuh ke tangan militan pada 8 Mei lalu dan sejak itu tentera kerajaan melancarkan operasi ketenteraan tanpa henti untuk mengusir militan daripada kawasan tersebut. - AFP