KUALA LUMPUR - Kerja-kerja pembinaan jajaran Sarawak-Sabah Link Road dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan.
Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata kerja-kerja ukur bagi pakej satu telah dijalankan dan kerja-kerja awalan pakej itu akan bermula dalam tempoh tiga minggu lagi melibatkan peruntukan RM5 juta.
Baru berkata pembinaan jajaran baharu yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei melibatkan 415km itu akan memanfaatkan penduduk tempatan dengan memperkasakan aktiviti eco-tourism dan agrotourism.
Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan pakej satu melibatkan jajaran sepanjang 80km dari Lawas-Long Sukang-Long Lopeng hingga Kampung Pa’ Berunut di Sarawak dengan anggaran kos RM1.2 bilion.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meluluskan projek ini. Saya harap projek (pakej satu) ini akan memanfaatkan penduduk di pedalaman Limbang, Miri dan Lawas,” katanya selepas majlis Sungkei (berbuka puasa) bersama media di kementerian itu di sini hari ini. Jelasnya projek itu keseluruhannya melibatkan kos kira-kira RM5.35 bilion bermula dari Long Lama (Marudi) ke Lawas di Sarawak dan berakhir di Sindumin, Sabah.
"Ini adalah perkara yang baik kerana kita faham Sabah dan Sarawak sudah ketinggalan beberapa tahun dari segi infrastruktur,” katanya.
Baru berkata jajaran pakej satu itu bakal menyediakan akses jalan raya menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dari Ulu Baran di Miri ke Limbang dan Long Semado di Lawas seterusnya meningkatkan mobiliti penduduk dan hasil ekonomi.
"Selepas ini, saya akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai memasukkan internet di kawasan terlibat. Saya percaya ia dapat membantu merancakkan lagi perniagaan penduduk tempatan secara online,” katanya. -Bernama