"ADUH, patutnya bulan puasa ni lagi senang nak turunkan berat badan. Tapi sudah dua minggu puasa, rasanya berat badan aku makin naik. Apa yang silapnya?” rungut seorang rakan ketika kami sedang moreh di sebuah restoran yang menyajikan cheese naan ‘best in town’ (paling sedap dalam bandar).
Bukan rakan itu sahaja yang gagal dalam misi hendak menguruskan berat badan ketika bulan puasa. Lagi berat daripada sebelum puasa. Sebelum puasa berat badan 80 kilogram (kg) tetapi ketika bulan puasa tiba-tiba naik lagi 5kg.
Mana tidaknya, begitu banyak godaan di bazar Ramadan. Sana sedap, sini sedap. Kalau boleh semua hendak dibeli untuk berbuka puasa. Kalau larat, semuanya hendak dimakan.
Mentang-mentang penat berpuasa, habis macam-macam jenis kuih muih dan juadah yang dibeli.
Itu belum termasuk undangan berbuka puasa dengan hidangan bufet di hotel-hotel mewah. Waktu siang menahan lapar dan dahaga tetapi apabila berbuka tak ingat dunia. Belum termasuk bermacam-macam jenis air manis yang diminum ketika berbuka.
Kesudahannya, kenyang yang teramat sangat, mengantuk dan tidur. Sebenarnya tanpa kita sedar, jumlah kalori dan gula yang diambil ketika berbuka juga boleh melebihi kadar yang biasa kita ambil ketika tidak berpuasa.
Keadaan itu menyebabkan penghasilan lemak.
Waktu bersahur pula, makan ala kadar untuk melapik perut. Tetapi ada rakan ini makan sahur seperti makan tengahari. Cukup berselera. Selepas perut kenyang, sambung pula tidur. Kesudahannya, terlajak solat Subuh.
Seboleh-bolehnya elakkan makan dua tiga jam sebelum tidur.
Bersenam? Jauh sekali. Langsung tidak produktif pada bulan puasa. Seorang rakan lagi rakan mencelah,"Aku 10 hari puasa, pakai seluar dah londeh!” Ini lagi hebat. Apa formulanya?
"Ingatkan dah kurus, rupanya getah seluar dah putus!”
Kami sama-sama ketawa.