SUBANG JAYA - Seramai 42 kanak-kanak Rumah Anak-anak Yatim As-Solihin Kanchong Darat, Banting bukan saja dibawa membeli-belah baju raya, malah mereka turut diberi peluang merasa menaiki kenderaan mewah.
Kesemua anak-anak kurang bernasib baik ini diraikan menerusi program Infaq Ramadan-'Jom shopping' anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Penggerak Peniaga (J3P) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama Kelab Alphard Velfire Malaysia (AVC) di Mydin USJ, di sini semalam.
Program tersebut turut disertai Ahli Dewan Negara, Senator Suresh Singh, Pengerusi J3P, Datuk Kamaruzaman Ibrahim dan Ahli-ahli majlis MPSJ.
Suresh ketika ditemui menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai satu inisiatif yang wajar dipuji.
"Anak-anak kurang bernasib baik ini perlu dijaga keperluan mereka dan diraikan supaya mereka tidak berasa terpinggir.
"Dengan adanya program sebegini, mereka dapat peluang untuk beli keperluan untuk berhari raya sama seperti kanak-kanak lain," katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur yang berjaya merealisasikan impian kanak-kanak tersebut.
Sementara itu, Kamaruzaman berkata, program tersebut merupakan julung kali diadakan oleh J3P di mana setiap AJK terdiri daripada peniaga-peniaga kecil pasar malam yang membuat sumbangan infaq bagi memastikan matlamat program tercapai.
Beliau berkata, selain itu sumbangan tersebut juga disumbangkan oleh jawatankuasa penduduk dari JKP Zon 2 dan JKP Zon15.
"Kita berjaya kumpulkan hampir RM10,000 dan digunakan sepenuhnya untuk bawa 42 anak-anak Rumah As-Solihin ini untuk berbelanja pakaian baru bagi menyambut Aidilfitri serta memberi keperluan mereka.
"Mereka juga dibawa berbuka puasa di Restoran Nasi Kandar Padang Kota, di sini yang ditaja oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin serta disajikan dengan hidangan lemang Abg Mie Putra Heights," katanya.
Selain itu katanya, kanak-kanak ini turut diceriakan lagi dengan pemberian duit raya bagi setiap seorang.
"Kita juga ucapkan terima kasih kepada AVC yang menaja urusan pengangkutan pergi dan balik anak-anak ini dengan menyediakan 10 buah kenderaan.
"Mereka juga membantu kita menemani anak-anak ini memilih baju serta menaja pembelian KFC untuk dibawa pulang bagi sahur," katanya.
Kamaruzaman berkata, beliau berharap program sama dapat diteruskan pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada golongan yang dibantu.