Koperasi boleh baiki struktur pemasaran

Iklan
Wacana Sinar Harian kali ke-111 bertajuk Mengawal Kos Sara Hidup Melalui Koperasi berlangsung di dewan Karangkraf, semalam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

SEBUAH koperasi yang mantap bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada ahli-ahlinya bahkan berupaya membantu ekonomi sebuah negara.

Perkembangan positif tersebut dibuktikan beberapa negara namun di Malaysia, kita masih belum sampai ke tahap itu. Apakah kelebihan yang ada pada koperasi sehingga ia mampu merencana ekonomi negara?

Iklan
Iklan

Bagaimana pula peranan mereka dalam membantu mengawal kos sara hidup?

Wacana Sinar Harian kali ke-111 yang membawa tajuk Mengawal Kos Sara Hidup Melalui Koperasi membariskan tiga ahli panel iaitu Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah; Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zazali Harun dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepecs), Datuk Azih Muda. Wacana itu dikendalikan moderator, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar.

Iklan

Pandangan Datuk Abdul Fattah Abdullah

Angkasa melihat bahawa koperasi boleh memperbaiki struktur pemasaran kerana kita dapati harga barang yang mahal di pasaran adalah disebabkan struktur pemasaran itu sendiri.

Iklan

Sebagai contoh, harga ikan dari laut didaratkan di jeti, dari jeti hendak sampai kepada pengguna terpaksa lalui banyak lapisan orang yang main peranan (orang tengah).

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Kos Sara Hidup Negara baru-baru ini, satu kajian lengkap mengenai harga barang berserta dengan hasil kajiannya dibentangkan.

Harga ikan kembung yang dinaikkan dari jeti sampai kepada pengguna mencecah sehingga RM14-RM20. Sedangkan di jeti harga baru RM6. Perkara ini disebabkan ada tujuh hingga lapan lapisan (orang tengah) yang main peranan membawa produk itu.

Jadi dalam konteks ini kita lihat koperasi boleh main peranan kerana mereka yang tangkap ikan ini adalah ahli koperasi juga iaitu koperasi nelayan.

Kemudian koperasi pengangkutan atau pemborong yang boleh mainkan peranan dari jeti terus bawa ke kedai-kedai atau pasar untuk pengguna berbanding sekarang (banyak lapisan).

Maka kita bolehlah kurangkan lapisan orang tengah, di mana kalau lapan orang ambil RM1 seorang sudah jadi RM8. Tapi kalau kita (koperasi) hanya melibatkan beberapa lapis.

Koperasi boleh memainkan peranan itu kerana ia kepunyaan ahli dan ahli juga yang membuat keputusan. Mereka boleh tentukan berapa margin atau keuntungan yang hendak dibuat.

Sementara itu, mengenai ramai penjawat awam yang dibelenggu pinjaman ah long, kita nasihatkan mereka sepatutnya gunakan koperasi (buat pinjaman) kerana ia ada elemen kawalan.

Kita cadangkan kepada masyarakat kalau kita hendak buat pinjaman buat pinjaman dengan pakej yang disediakan oleh koperasi atau institusi kewangan iaitu bank.Buat pinjaman skim potong gaji biasanya majoritinya penjawat awam kerana untuk potong gaji hanya penjawat awam yang boleh mohon melalui sistem itu.

Kalau bukan penjawat awam ada juga, tetapi syarikat-syarikat besar boleh, namun kalau syarikat individu memang tidak boleh kerana bukan kawalan kita melainkan dia ahli koperasi dan koperasi itu beri pinjaman secara dalaman.