Tiga ahli Geng Syed Savanna berjaya diberkas

Iklan
Abdul Aziz (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barang disyaki hasil jenayah Geng Syed Savanna yang berjaya dirampas susulan tertangkapnya tiga individu di Dengkil, Sepang, sejak 17 Mei lalu.

SEPANG - Kegiatan aktif Geng Syed Savanna melakukan jenayah pecah rumah, pecah kenderaan dan ragut dipercayai sejak awal tahun ini akhirnya berkubur apabila tiga ahli kumpulan terbabit berjaya diberkas, di Dengkil, di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki dibuat kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 17 Mei lalu oleh sepasukan polis menerusi Ops Lejang Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kedua-dua lelaki terbabit dikesan dalam sebuah kereta jenis Proton Satria di sebuah apartmen di Southville City, Dengkil.

"Menyedari kehadiran polis, kereta terbabit bertindak memecut laju, namun kedua-dua suspek berjaya ditahan," katanya dalam sidang akhbar di IPD Sepang, hari ini.

Iklan

Sebahagian barang disyaki hasil jenayah Geng Syed Savanna yang berjaya dirampas susulan tertangkapnya tiga individu di Dengkil, Sepang, sejak 17 Mei lalu.

Beliau berkata, susulan itu, keesokannya, polis turut menahan seorang wanita di sekitar Dengkil juga dipercayai terlibat dalam kumpulan berkenaan.

Iklan

Tambahnya, dengan penahanan tiga suspek ini, barangan disyaki hasil jenayah telah dirampas antaranya pelbagai jenama jam tangan, beg tangan, telefon bimbit, komputer riba, kamera, barang kemas serta topi keledar.

"Polis percaya dengan tertangkapnya geng ini berjaya menyelesaikan 11 kes di daerah Sepang, bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan suspek ada terlibat di beberapa daerah lain.

"Siasatan masih dijalankan. Kesemua suspek berusia lingkungan 24 tahun sehingga 37 tahun masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Dua individu yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah pecah rumah.

Dalam pada itu, polis giat mencari dua lelaki dikenali Syed Ahmad Zaki Syed Zain, 30, dan Ahmad Eiman Razali, 23, bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sub Inspektor Roselee Ibrahim di talian 013-8961912 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Selain itu, polis juga meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa jenayah geng terbabit untuk hadir bagi pengecaman barang kes.