SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesahkan menerima sepucuk surat Peguam Negara, Tommy Thomas agar membatalkan lantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.
Setiausaha Politik Menteri KPKT, Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataannya berkata, kementerian segera bertindak mengikut nasihat Tommy di dalam surat yang bertarikh 23 Mei lalu.
"Setelah menerima surat tersebut, KPKT telah bertindak mengikut nasihat Tommy dan mengarahkan Syazlin menarik diri daripada inkues tersebut," katanya.
Menurutnya, Syazlin dilantik pada peringkat awal untuk memastikan dan melengkapkan fakta mengenai kematian Muhammad Adib.
"Perkara ini adalah sangat penting untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Kementerian kerana anggota telah meninggal dunia dalam menjalankan tugasnya," katanya.
Beliau berkata, lantikan Syazlin telah diketahui umum sejak inkues bermula 11 Februari lalu.
"Tidak ada bantahan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam inkues sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung," katanya.
Justeru katanya laporan berita bahawa Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin melantik Syazlin tanpa pengetahuan Tommy adalah tidak tepat dan mengelirukan.
"Syazlin adalah isteri kepada Setiausaha Akhbar Zuraida dan kami ingin memberi penekanan bahawa beliau dilantik atas dasar 'pro bono' (tanpa bayaran).
"Kami mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan atas khidmatnya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: Prosiding tergendala, peguam tarik diri
Kes Muhammad Adib semakin kusut apabila Syazlin secara mengejut membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner untuk menarik diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Inkues Adib: Sepucuk surat punca peguam tarik diri?
Tindakan tersebut dipercayai berpunca dari sepucuk surat yang dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam undang- undang.
Sementara itu, Syazlin ketika dihubungi Sinar Harian meluahkan rasa kesalnya terhadap laporan berita yang mengait lantikannya dengan kedudukan suaminya.
"Saya memberi khidmat secara pro bono. Tiada sebarang wang kerajaan masuk ke dalam poket saya," tegasnya.
Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.