Pertumbuhan purata gaji industri ICT dijangka sederhana

Iklan

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan purata gaji bagi sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka terus menyederhana kepada 3.8 peratus pada 2019 berikutan perkembangan industri yang suram sejak beberapa tahun lepas, demikian menurut Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Penyelidikan dan Penerbitannya, Woon Tai Hai berkata, gaji atau upah bagi industri ICT juga terbukti tumbuh pada kadar paling perlahan dalam dekad ini.

Iklan
Iklan

"Purata gaji bulanan secara menyeluruh pada 2018 hanya meningkat empat peratus berbanding tahun sebelumnya dan susut secara ketara di bawah purata kadar pertumbuhan tahunan (AAGR) sebanyak 6.7 peratus dalam tempoh sembilan tahun pada 2009 – 2018.

"Pertumbuhan gaji yang perlahan itu jelas membuktikan perkembangan suram industri ICT itu yang mana sumbangannya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya meningkat 0.1 mata peratusan kepada 18.3 peratus pada 2017," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena pelancaran Prospek Pasaran Kerja ICT di Malaysia 2019.

Iklan

Mengulas selanjutnya, Tai Hai berkata, permintaan terhadap pekerjaan ICT kekal baik walaupun majikan lebih teliti dengan pilihan pekerja.

Malah, pada 2018, majikan terbukti lebih konservatif dalam aspek tawaran ganjaran dan pada masa sama lebih mengutamakan aspek pengalaman dan kemahiran khusus tertentu dimiliki calon.

Iklan

Menurutnya, jumlah pekerjaan juga masih meningkat namun hanya membabitkan bidang tertentu seperti Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan internet pelbagai benda (IoT).

Penyusutan aliran pertumbuhan gaji dan tawaran kerja itu juga berkemungkinan sebagai reaksi terhadap usaha kerajaan melakukan penyusunan semula ekonomi susulan perubahan pentadbiran pada tahun lepas yang menyebabkan majikan lebih mengamalkan sikap 'tunggu dan lihat.'

Sementara itu, Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah pula menjangkakan KDNK meningkat secara sederhana pada tahun ini dengan kebanyakan agensi tempatan dan antarabangsa memberi angka unjuran sekitar 4.8 peratus.

"Dari sudut positif, kami menjangkakan berlakunya pemulihan ekonomi dalam separuh kedua 2020. Adalah diharapkan bahawa perbelanjaan kerajaan akan dapat merangsang semula ekonomi dan hanya selepas itu, ekonomi IT akan berkembang seiring dengan ekonomi lain," katanya.

Menurutnya, ekonomi Malaysia juga dijangka menyaksikan perkembangan positif pada pertengahan 2020 apabila pelbagai inisiatif dan program baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan mula membuahkan hasil.

Beliau juga berpendapat bahawa kerajaan akan memberi tumpuan terhadap aspek 4IR, Industry4WRD, robotik, analitik dan Kecerdasan Buatan yang menjadi penggerak ekonomi masa depan negara.

"Sudah pasti ada impak positif di sebalik yang berlaku dan apa yang menggalakkan adalah kebanyakan petunjuk ekonomi negara seperti pekerjaan, pelaburan domestik, inflasi, kadar faedah dan eksport masih lagi baik.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh bergantung kepada kelebihan yang dimiliki semata-mata kerana faktor global sebaliknya adalah di luar kawalan kita," katanya. - Bernama