JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan peningkatan bagi jumlah keberhasilan sebanyak 117 peratus dengan nilai rampasan RM72.53 juta setakat Januari hingga April lalu, jika dibandingkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Komander PPM, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, bagi tempoh Januari hingga April 2018, jumlah keberhasilan mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM33.39 juta.
"Peningkatan agak mendadak berbanding tahun lepas kalau kita tengok statistik. Daripada Januari hingga April 2019 kita telah meningkat lebih kurang 117 peratus berbanding 2018 tempoh yang sama.
"Daripada segi bilangan kes, tahun 2018 sebanyak 1,554 kes dan pada tahun ini meningkat kepada 1,992 kes," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Markas PPM Wilayah 2 Tampoi di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata, operasi secara agresif dilakukan oleh PPM mengikut dasar kerajaan semasa untuk membanteras terutama dari segi penyeludupan rokok, arak dan sebagainya.
"Jadi kita telah menyahut seruan tersebut, dan ini bukti hasil kita tunjukkan kepada kerajaan. Kita mampu untuk menangani masalah-masalah penyeludupan yang merugikan kerajaan.
"Dikatakan oleh pihak yang membuat survey (pihak luar), memberitahu kerajaan rugi untuk (penyeludupan) rokok sahaja RM5 bilion. Jadi kerana itulah kita menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan operasi dan keberhasilan," katanya.
Ditanya mengenai operasi di perairan negara khususnya menjelang Aidilfitri, beliau berkata, PPM memang meningkatkan pemantauan dari segi menjaga keselamatan.
"Sekarang kita fokus pada tekong. Untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), kita sedang laksanakan operasi memantau trend untuk keluar dan masuk selepas Aidilfitri.
"Kalau ikut trend dahulu, selalunya minggu kedua Aidilfitri PATI mula masuk sehingga sebulan. Tapi kita (PPM) sudah mula (Op Landai dan Op Gelora Khas) minggu pertama raya," katanya.