GOMBAK - Kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan masalah gangguan bekalan air ekoran insiden paip pecah di hadapan Kompleks Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Batu Caves pagi tadi dalam tempoh 48 jam.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sebanyak 23 kawasan melibatkan 5,000 akaun pengguna terkesan susulan kejadian berkenaan.
Menurutnya, tempoh sebenar baik pulih masih belum dapat ditentukan kerana kerja-kerja mengeluarkan air yang bertakung masih dijalankan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
"Kejadian ini dikenal pasti berlaku jam 10 pagi melibatkan paip pecah yang berukuran 525 milimeter dan Air Selangor telah melaksanakan tindakan segera dengan menutup aliran air.
"Setakat ini 80 peratus punca masalah telah dikenal pasti dan kita jangka untuk baik pulih air, jika semua berjalan lancar akan buat kurang 48 jam namun belum pasti lagi kerana belum terima laporan penuh.
"Bagaimanapun jabatan kerja raya (JKR) memaklumkan untuk kerja-kerja baik pulih jalan yang rosak kemungkinan akan ambil masa kira-kira 6 hari namun kita akan cuba selesaikan sebelum Aidilfitri,” katanya ketika melawat lokasi kejadian tersebut hari ini.
Tambah beliau, susulan gangguan bekalan air yang berlaku, pihak Air Selangor sudah menggerakkan tangki bagi menyalurkan bekalan kepada penduduk terlibat.
"Saya juga minta ahli majlis dan pihak pengurusan DUN untuk memantau jika ada sebarang keperluan dan kita akan bantu penyaluran air untuk kawasan terlibat,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan sebuah lori terperangkap dalam insiden berlaku di laluan jalan ke arah Sungai Tua melalui jalan Batu Caves itu yang turut menyebabkan gangguan trafik.
Air Selangor dalam masa sama memaklumkan terdapat gangguan bekalan air sementara disebabkan insiden itu dan antara kawasan terjejas adalah Kampung Indian Settlement, Kampung Baru Batu Caves, Taman Batu Caves, Kampung Melayu Batu Caves, Taman Samudera, Taman Selasih Fasa 1 & 2, Taman Greenwood, Taman Berjaya, Taman Greenwood Indah, dan Kampung Changkat.
Turut terlibat, Taman Koperasi Fasa 1&2,Taman Pelangi Jaya, Kampung Batu Muda Tambahan, Kampung Batu Muda, Taman Bullion Mewah, Perusahaan Batu Caves, Taman Sri Batu Caves & Taman Desa Batu Caves.
ARTIKEL BERKAITAN: Paip pecah: Gombak berdepan gangguan bekalan air sementara