MORIB - Taktik menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan menggunakan teksi bagi mengaburi kegiatan tersebut daripada dikesan pihak berkuasa hanya sia-sia.
Modus operandi lapuk itu berjaya dikesan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Ops Nyah 1, di Jalan Besar Morib menghala ke Banting awal pagi semalam.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, seramai tiga tekong darat warga tempatan serta 13 PATI ditahan.
"Kegiatan itu berjaya dikesan hasil pemerhatian di kawasan kubur orang asli Tanjung Sepat, Selangor sebelum melihat dua buah teksi jenis Toyota Innova bergerak laju dalam keadaan mencurigakan.
"Anggota PGA kemudian bertindak mengejar teksi terbabit dan berjaya ditahan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan pada teksi pertama mendapati dua lelaki tempatan berusia 45 tahun dan 48 tahun adalah pemandu serta penumpang hadapan. Turut berada di dalam teksi terbabit lima warga Myanmar serta dua warga Bangladesh.
Katanya, pemeriksaan pada teksi kedua pula mendapati pemandunya seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.
"Seramai enam lelaki warga Myanmar juga ditahan di dalam teksi terbabit," katanya.
Tambahnya, pihaknya kemudian merampas enam unit telefon bimbit serta menyita dua buah teksi terbabit. Semakan juga mendapati kesemua lelaki warga asing berusia 18 hingga 35 tahun itu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.
"Siasatan awal mendapati PATI tersebut dipercayai baru tiba dari Indonesia melalui jalan laut yang tidak diwartakan. Kesemua PATI ini juga dipercayai akan dihantar ke Subang oleh tekong darat warga tempatan terbabit," katanya.