Dr Mahathir lawat Jepun tiga hari

Iklan

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja tiga hari ke Tokyo, Jepun mulai esok untuk menyertai Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia ke-25.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama di pembukaan persidangan pada 30 Mei.

Iklan
Iklan

"Beliau dijangka menyentuh dinamika order antarabangsa yang sering berubah dan bagaimana teknologi baharu mencorak rupa bentuk masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Dihos oleh Nikkei Inc setiap tahun sejak 1995, persidangan itu menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan bagi berkongi visi mereka untuk masa depan Asia.

Iklan

Tema tahun ini ialah"Seeking a new Global Order – Overcoming the Chaos" (Mengesani Order Baharu Global - Mengatasi Kecelaruan).

Wisma Putra berkata, Dr Mahathir akan juga menyertai beberapa sesi interbiu dikendalikan oleh rangkaian media komunikasi Nikkei.

Iklan

Dr Mahathir juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada 31 Mei untuk mesyuarat bilateral."Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu bilateral, serantau dan antarabangsa kepentingan bersama,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Dr Mahathir akan juga menerima kunjungan hormat daripada pemimpin-pemimpin lain yang menghadiri sidang itu dan juga wakil-wakil dari Persatuan Anggota-anggota Parlimen Jepun-Malaysia dan Toyo University.

Selain persidangan itu, Perdana Menteri akan juga menyertai dialog Perniagaan Malaysia-Jepun anjuran bersama MIDA dan Japan External Trade Organisation (JETRO), di samping menyampaikan ucaptama di Kelab Wartawan Asing Jepun (FCCJ).

"Lawatan itu dijangka memperkukuh lagi hubungan dan ikatan erat pelbagai peringkat antara Jepun dan Malaysia di bawah Dasar Pandang ke Timur,” kata Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra, Jepun merupakan rakan dagang global Malaysia keempat terbesar pada 2018 dengan dagangan bilateral dicatatkan berjumlah RM132.57 bilion (AS$32.86 bilion).

Bagi Jepun, Malaysia adalah rakan dagang global keempat belas terbesar, dan kelima dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Thailand, Vietnam, Indonesia and Singapura. - Bernama