Mangsa, Chin Zeuw Long,22, ditemukan di bawah kenderaan jenis Nissan Navara milik mangsa semasa kenderaan berkenaan ditarik keluar dari sungai pada jam 1.50 petang tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, ketika kejadian mangsa sedang memancing di kawasan itu dan mendapati paras air naik mendadak ketika itu.
"Mangsa cuba meredah paras air yang meningkat selepas hujan lebat.
"Mangsa juga sempat menelefon bapa saudaranya kira-kira jam 4 pagi untuk memberitahu dirinya terperangkap dalam kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa ada mengadu kepada bapa saudaranya mengenai arus air kian meningkat dan deras.
"Mangsa kemudiannya diarahkan oleh bapa saudaranya untuk keluar dari kenderaan.
"Selepas itu, bapa saudara pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kereta tersebut telah ditenggelami air serta dibawa arus deras," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.
"Penemuan mayat mangsa sekali gus mengakhiri operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 2 petang tadi.
"Seramai 30 anggota terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Angkan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba Sukarelawan Merapoh dan orang kampung terlibat dalam operasi tersebut," jelasnya.