Longgar syarat kemasukan pelancong China, India undang mudarat

Iklan
Hamidah Osman

IPOH - Kerajaan Pusat digesa mengkaji semula cadangan untuk melonggarkan syarat kemasukan pelancong China dan India ke negara ini atas alasan bagi meningkatkan industri pelancongan Malaysia.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, desakan itu dibuat susulan pihaknya mendapati langkah melonggarkan syarat kemasukan pelancong asing dibimbangi akan memberi mudarat lebih besar kepada kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan bagi tahun 2005, daripada sejumlah 500,000 pelancong dari negara China dicatat berkunjung ke negara ini, hanya 315,000 daripadanya yang direkod keluar.

"Ini bermakna sejumlah 185,000 pelancong China yang gagal dikenal pasti lokasi mereka dan dipercayai terus tinggal dalam negara ini sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Iklan

"Angka ini amat mengejutkan kerana kita sedia maklum terdapat banyak rakyat China terjebak dalam sektor pelacuran, perkhidmatan rumah urut dan pelbagai aktiviti tidak bermoral lain di Malaysia sejak kebelakangan ini.

"Kebanyakan mereka didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial atau visa pelajar apabila dicekup pihak berkuasa dan senario ini sebenarnya wajar mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman lambakan Pati dalam kalangan dua negara itu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Hamidah berkata, pihaknya baru-baru ini turut dikejutkan dengan berita permohonan lebih 100,000 orang Cina diberi kerakyatan oleh Kerajaan PH setelah dikatakan hanya menerima status penduduk tetap(PR) selama ini.

Menurutnya, angka permohonan terlalu ramai itu menjadi pertikaian pihaknya yang mempersoalkan sama ada kesemua pemohon terbabit benar-benar layak terima, tinggal di negara ini untuk suatu tempoh masa lama atau sebaliknya.

"Adakah angka itu sebenarnya ada juga kaitan dengan pembabitan pelancong negara China yang tidak daftar keluar dan bekerja di negara ini secara haram?

"Putra merasakan Kerajaan Pusat tidak boleh berterusan mengambil risiko membuat keputusan yang akhirnya boleh menggadaikan kedaulatan negara,"katanya.

Hamidah berkata, langkah melonggarkan syarat kemasukan pelancong China dan India ke negara ini sebenarnya bakal mewujudkan lambakan PATI dalam kalangan dua negara itu.

Menurutnya, inisiatif itu turut menyukarkan usaha Kerajaan Pusat dalam memastikan bilangan pendatang asing di negara ini dapat dibendung dan dikurangkan demi kepentingan pembangunan ekonomi negara.

"Dengan syarat kemasukan sedia ketat pun masih ramai PATI mampu menerobos masuk ke dalam negara ini, tindakan melonggarkan syarat itu pastinya akan memberi impak buruk terhadap kesejahteraan negara kita," katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan untuk memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong China dan India untuk meningkatkan pelancongan Malaysia.

Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang berkata, Malaysia boleh meningkat dan menjadi destinasi percutian pelancong jika kerajaan memberikan perjalanan tanpa visa kepada pelancong terutamanya dari China dan India.

ARTIKEL BERKAITAN: Beri kemasukan tanpa visa kepada pelancong China