ALOR SETAR - Hampir 1 juta kenderaan dijangka akan masuk ke Kedah secara berperingkat bermula musim cuti sekolah hingga Syawal nanti sempena sambutan Aidilfitri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, pengguna jalan raya yang pulang berhari raya di negeri diingatkan mematuhi peraturan jalan raya dan merancang perjalanan.
"Kita jangka hampir 1 juta pengguna jalan raya akan pulang dan masuk ke Kedah sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
"Bagaimanapun, kita jangkakan kesesakan akan berkurangan memandangkan cuti persekolahan bermula lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Op Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Hutan Kampung di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Chan Pei Hong dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Isma Suhaimi Sharif.
Menurutnya, kira-kira 85 peratus kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu sendiri yang tidak menghiraukan keselamatan, misalnya memandu laju dan memotong garisan berkembar.
"Ada pengguna memaksa diri memandu walaupun penat hingga mengakibatkan berlakunya 'microsleep'," katanya.
Sementara itu, Exco Pengangkutan, Azman Nasrudin Kedah berkata, kempen itu diharap memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berkaitan aspek keselamatan.
"Antara aspek keselamatan ialah melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan kenderaan sebelum pulang ke kampung masing-masing.
"Pengguna turut diingatkan menggunakan tali pinggang keledar dan kerusi penumpang kanak-kanak untuk yang memiliki anak kecil," katanya.
Menurutnya, penunggang dan pembonceng motosikal juga diwajibkan memakai topi keledar mengikut spesifikasi ketika menunggang untuk ke destinasi tujuan masing-masing.