JOHOR BAHRU -"Setiap kali mendengar lagu raya, saya akan sebak dan menangis tanpa sebab," cerita Rohaslina Mohd Zarawi, 25.
Bagaimanapun, Rohaslina tidak menyangka ia merupakan petanda bahawa dia akan kehilangan suami tercinta, Zuhairy Zainol, 31.
Zuhairy maut bersama adiknya, Muhammad Afiq, 19 serta Muhammad Afandey Ahmad, 20 dalam kejadian kemalangan melibatkan treler tangki muatan simen di Jalan Ulu Tebrau, di sini, pagi tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut tercampak, tersepit dalam treler terbakar
Menurutnya, pemergian suaminya bersama adik iparnya genap seminggu sebelum sambutan Aidilfitri dianggap sebagai ujian paling berat dari Ilahi.
"Siapa tidak terkejut, baru tengah malam tadi, suami pulang ke rumah di Kuantan, Pahang dalam keadaan kelam-kabut.
"Suami hanya sempat mandi dan keluar semula rumah kerana mahu sambung bekerja dan tiba-tiba pada jam 10 pagi saya menerima panggilan suami sudah tiada," katanya.
Beliau berkata, mereka juga tidak sempat berbual lama kerana dia memahami situasi suami yang mengejar masa untuk bekerja iaitu memandu treler tangki muatan simen dari Kuantan ke Johor Bahru.
"Suami sempat berpesan dengan saya untuk membuat persiapan untuk pulang beraya di rumah bapanya di Nenasi, Pekan, Pahang.
"Saya turut berasa amat terkilan kerana tidak sempat bersahur bersama suaminya," katanya yang memberitahu kebiasaannya suaminya akan berulang alik dari Kuantan ke Johor Bahru tiga kali dalam seminggu.
Rohaslina berkata, dia juga tidak sempat membuat sebarang persiapan Aidilfitri lagi termasuk membeli baju raya untuk dirinya serta suami.
"Saya hanya sempat membeli untuk anak lelaki tunggal, Muhammad Zayyad Rizfael yang kini berusia setahun sebulan," katanya.
Wanita itu memberitahu, suaminya merupakan anak sulung daripada lapan beradik, manakala Muhammad Afiq adalah anak ketujuh.
"Kedua-dua beradik ini amat rapat. Ke mana sahaja mereka pergi bersama dan tidak sangka pula mereka menemui ajal bersama.
"Arwah Muhammad Afiq baru menyambut hari jadinya ke 19 pada 22 Mei lalu dan amat seronok menantikan Syawal namun dia serta suami tidak sempat meraikannya," katanya.