PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengarahkan peguamnya, Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim selaras dengan nasihat Peguam Negara Tommy Thomas, kata setiausaha politik Menterinya, Zuraida Kamaruddin.
Menurut Nor Hizwan Ahmad, surat Peguam Negara bertarikh 23 Mei meminta supaya pelantikan peguam kementerian itu dibatalkan.
"Selepas menerima surat itu, pihak kementerian dengan segera bertindak, selaras dengan nasihat Peguam negara dan mengarahkan peguamnya menarik diri daripada inkues itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara beri empat sebab Syazlin diarah tarik diri
Menurutnya sebagaimana yang diketahui umum Syazlin mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kementerian sejak inkues bermula pada 11 Februari tahun ini.
"Tiada bantahan dibangkitkan oleh mana-mana pihak terbabit dalam inkues itu sepanjang perjalanannya, yang kini sudah menghampiri penghujungnya.
Nor Hizwan berkata, Syazlin dilantik di peringkat awal bagi memastikan dan membantu dalam penemuan fakta keseluruhannya berhubung kematian Adib.
"Ini perkara yang amat penting bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kementerian memandangkan salah seorang anggota jabatannya telah meninggal dunia semasa melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.
Nor Hizwan berkata, Syazlin dilantik sebagai peguam kementerian dan melaksanakan tanggungjawabnya secara ‘pro bono’, tanpa menerima apa-apa bayaran dalam semangat menjalankan khidmat kepada masyarakat.
"Kami mengambil peluang ini merakamkan penghargaan kami kepada perkhidmatan yang dijalankannya,” katanya.
Syazlin mengumumkan penarikan dirinya daripada inkues itu semalam.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. - Bernama