KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung kes samun pengurup wang di Jalan Silang, di sini pada 19 Mei lalu yang melibatkan 13 individu termasuk dua pegawai dan lima anggota polis hampir lengkap.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek sudah direman sebanyak dua kali dan kini dibebaskan dengan jaminan polis.
Iklan
Iklan
"Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dihantar ke pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), di sini, selepas merasmikan Kempen Op Selamat 15, hari ini.
Menurutnya, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan anggota dan pegawainya.
"Kes ini adalah sebagai satu peringatan kepada warga polis yang lain untuk tidak terlibat aktiviti jenayah," katanya.
Pada 22 Mei lalu, pegawai polis berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Lans Koperal serta Sarjan itu ditahan kira-kira jam 4 pagi bersama empat orang awam kerana dipercaya terlibat menyamun pengurup wang berjumlah RM200,000.
Difahamkan, kesemua suspek memaklumkan bahawa mangsa ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan tukaran mata wang asing tanpa lesen perniagaan sebelum meminta RM200,000 sebagai tawaran menyelesaikan kes.