PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir tindakan beberapa individu menubuhkan parti politik baharu yang berteraskan orang Melayu dan Bumiputera.
Dr Mahathir secara sinis berkata, lebih banyak parti politik ditubuhkan adalah lebih baik bagi membuktikan tiada satu pun parti orang Melayu memiliki majoriti yang besar di negara ini.
Iklan
Iklan
"Kalau kita tubuh 100 parti itu cukup baik, dengan itu orang Melayu akan dibahagikan kepada 100 dan tiada satu pun parti Melayu yang besar, sebab itu saya menggalakkan lebih banyak parti Melayu.
"Kita sengaja ingin menentukan bahawa negara ini yang memiliki majoriti 60 peratus Melayu tapi Melayu ini berpecah kepada empat, tidak apa juga, ini berpecah sampai 100, OK lah kalau itu yang orang Melayu hendak,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di sini hari ini.
Pada 8 Mei lalu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diasaskan Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali menjadi parti terbaharu diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
Penubuhan parti baharu tersebut menerima reaksi negatif pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menyifatkan ia merugikan orang Melayu.