Zon maut di puncak Everest

Iklan
Para pendaki terpaksa menunggu lama untuk turun dari puncak dengan bekalan oksigen yang terhad. Gambar kecil: Christopher John Kulish dan Ameesha Chauhan.

KATHMANDU - Kematian mengejut beberapa individu di Gunung Everest pada musim ini menjadi topik hangat yang diperkatakan media sejak minggu lalu.

Seorang warga Amerika Syarikat menjadi individu ke-11 meninggal dunia kelmarin ketika menyertai ekspedisi untuk menawan puncak tertinggi di dunia itu.

Iklan
Iklan

Peguam, Christopher John Kulish dari Boulder, Colorado dilaporkan memulakan pendakian dari laluan biasa Southeast Ridge untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-62 di Everest.

"Dia meninggal ketika kembali ke South Col dan punca kematiannya masih tidak jelas,” menurut Jabatan Pelancongan Nepal dalam satu kenyataan.

Iklan

Difahamkan, Kulish adalah rakyat AS kedua yang dilaporkan menemui ajal di puncak Everest setinggi 8,848 meter.

Kebanyakan kematian atau kehilangan pendaki sejak 10 hari lalu dikaitkan dengan keletihan akibat kesesakan melampau dan luar biasa di laluan pendakian.

Iklan

Jurupandu arah para pendaki yang digelar Sherpa mendakwa kebanyakan mereka tidak mempunyai pengalaman dan terpaksa mengambil masa agak lama untuk tiba di puncak dengan bekalan oksigen yang terhad.

Berita kematian Kulish dilaporkan beberapa jam selepas pengarah filem warga Kanada menceritakan pengalamannya yang terpaksa melangkah mayat pendaki ketika menyertai ekspedisi pada Khamis lalu.

Elia Saikaly dari Ottawa berkata, dia cuba memberi amaran kepada pendaki lain supaya membatalkan hasrat untuk menakluk Everest kerana ia mungkin akan meragut nyawa mereka.

Ada pihak mendakwa kesesakan di laluan dianggarkan sebesar dua meja ping pong yang digambarkan seperti ‘zoo’ oleh sesetengah pendaki itu berikutan kerajaan Nepal mengeluarkan terlalu banyak permit mendaki yang berharga AS$11,000 (RM46,112) kerana didakwa terdesak memerlukan sumber kewangan.

Di bahagian Tibet, hanya dua kematian dilaporkan dalam tempoh sama kerana langkah tegas mereka dalam mengeluarkan permit kepada pendaki.

Kali terakhir lebih 10 kematian di Everest adalah ketika kejadian salji runtuh pada 2015.

Perlu tetapkan kriteria

Mangsa terselamat dalam kesesakan di Everest, Ameesha Chauhan berkata, pendaki tanpa kemahiran asas sepatutnya dilarang menyertai ekspedisi menawan puncak tertinggi di dunia itu.

"Nepal mengeluarkan 381 permit pada musim ini dan ratusan daripada pemohonnya tidak mendapat latihan yang betul dan meletakkan risiko pada nyawa sendiri dan Sherpa,” katanya yang dirawat di hospital kerana mengalami radang dingin.

Jelas wanita berusia 29 tahun itu, dia terpaksa menunggu selama 20 minit untuk turun dari puncak manakala pendaki lain terperangkap selama beberapa jam.

"Terdapat beberapa pendaki yang tidak mempunyai kemahiran asas dan bergantung sepenuhnya dengan Sherpa. Kerajaan Nepal wajar menetapkan kriteria sepatutnya dan hanya pendaki yang terlatih boleh mendapat permit mendaki,” ujarnya lagi. - Agensi