PETALING JAYA - Seramai 40 anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ar-Rahmaniah, Hulu Selangor dirai as-Salihin Trustee Berhad (as-Salihin) dalam Majlis Berbuka Puasa bersama waris harta pusaka yang ditadbir di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya di sini.
Majlis diadakan bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturahim antara kakitangan as-Salihin dan waris sekaligus meraikan anak-anak yatim.
Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Abdul Aziz Peru Mohamed berkata, seramai 160 tetamu hadir pada majlis yang penuh dengan pengisian bermanfaat.
Menurutnya, majlis tersebut merupakan acara tahunan, memberi peluang kepada as-Salihin untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutama anak-anak yatim serta insan yang kurang bernasib baik.
"Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan tahlil serta penyampaian sumbangan kepada anak yatim yang diraikan.
"Penerima menerima sumbangan beg sekolah dan duit raya. Selain itu, as-Salihin dengan bantuan penderma berjaya mengumpulkan wang tunai berjumlah RM7,000 yang disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Ar-Rahmaniah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi as-Salihin, Tun Dr Mohd Salleh Abas.
Beliau berkata, as-Salihin ditubuhkan pada tahun 2004 untuk memenuhi keperluan umat Islam bagi memelihara, melindungi dan mengagih harta hasil titik peluh mereka supaya orang-orang yang tersayang akan beroleh manfaat apabila mereka sudah meninggal dunia.
Katanya, menjadi matlamat as-Salihin menyediakan perkhidmatan berkaitan perancang harta berdasarkan prinsip Syari’ah.
Tambahnya, as-Salihin juga adalah syarikat amanah pertama di Malaysia yang fokus terhadap perancangan harta pusaka Islam.