IMPIAN Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk tidak mahu menjadi parti pembangkang selama-lamanya akhirnya menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Keputusan PRU14 sememangnya mengejutkan semua pemimpin dan ahli-ahli DAP sendiri. Kemenangan besar dengan memperoleh 42 kerusi Parlimen dan 94 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu rekod luar biasa.
Hasilnya dalam sekelip mata, sebahagian besar pemimpin-pemimpin pusat dan negerinya diberi pangkat dan kuasa dalam kerajaan. Ada yang dilantik menjadi menteri, timbalan menteri, timbalan Speaker Dewan Rakyat, senator dan exco.
Dulu pembangkang, kini menjadi kerajaan. Jadi sudah tentu cara kerja mereka pun berubah. Mereka tidak lagi mengkritik kerajaan yang menjadi rutin harian mereka selama ini. Sebaliknya, mereka perlu lebih bersifat tanggungjawab menitikberatkan masalah rakyat.
Memasuki tempoh setahun membentuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pujian bagaimanapun perlu diberikan kepada beberapa pemimpin DAP yang memikul tugas dengan cekap dan berdedikasi.
Antaranya, Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan dan Timbalan Setiausaha Publisiti, Yeo Bee Yin sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Timbalan Pengerusi Wanita, Hannah Yeoh sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sekadar menyebut beberapa nama.
Bagaimanapun, ia tidak pula berlaku pada beberapa pemimpinnya terutama sekali yang memegang portfolio membabitkan kepentingan kaum Cina. Isu pendidikan misalnya jelas masih gagal diselesaikan dengan baik.
Tidak dinafikan, kemenangan besar DAP pada PRU14 adalah hasil sokongan padu diberikan pengundi Cina. Selain mahu memastikan BN hilang tampuk pemerintahan, pengundi Cina seperti sepakat sokong DAP kerana setuju menerima janji-janji diberikan oleh DAP sepanjang kempen PRU lalu.
Barangkali ada yang masih mengingati taburan janji-janji DAP kepada pengundi Cina. Kata DAP, sekiranya menjadi kerajaan, sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dijamin akan diiktiraf kerana ia telah menjadi sebahagian daripada manifesto PRU.
Namun, sehingga hari ini, janji tinggal janji. Sijil UEC masih belum diiktiraf secara rasmi. Pemimpin DAP kata ia tetap akan diiktiraf, cuma masa tidak dipastikan. Ternyata kaum Cina tidak dapat terima jawapan sedemikian.
Kegagalan mengiktiraf UEC tidak terhenti melukakan hati kaum Cina di situ sahaja. Datang pula pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Bajet 2019 untuk memotong dana Universiti Kolej Tuanku Abdul Rahman sebanyak RM24.5 juta dan memperuntukkannya dengan hanya geran RM5.5 juta.
Kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, universiti kolej itu layak mendapat geran berjumlah RM30 juta jika universiti itu memutuskan hubungannya dengan MCA.
Masyarakat Cina umumnya tidak setuju langkah dibuat oleh Guan Eng itu. Mereka menganggap universiti kolej itu perlu diberi bantuan kerajaan kerana telah melahirkan ramai graduan yang kebanyakan terdiri daripada keluarga golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Kedua-dua isu pendidikan itu yang menyebabkan masyarakat Cina mulai rasa tidak percaya kepada DAP dipanaskan lagi pula dengan isu matrikulasi yang tercetus baru-baru ini.
Pada 24 April lalu, Kabinet bersetuju mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.
Keputusan ini segera mendapat reaksi daripada masyarakat Cina yang mencadangkan jumlah kuota kepada bukan Bumiputera perlu ditambah. Mereka turut mendakwa menteri-menteri DAP gagal membela nasib pelajar Cina seperti yang diharapkan.
Untuk menjadi kerajaan yang adil dan beramanah, tugasnya cukup berat. Oleh itu, dalam menghadapi isu matrikulasi ini, pemimpin-pemimpin DAP yang mempunyai jawatan dalam kerajaan memilih jalan untuk mendiamkan diri, malahan ada yang cuba mengelak diri ketika ditanya wartawan.
Kita mungkin boleh faham apabila menjadi menteri atau timbalan menteri, mereka sudah tidak boleh memberikan kenyataan dengan bebas.
Maka berlakulah tuduhan kerap dilemparkan ramai pihak pemimpin-pemimpin DAP kini sudah tidak boleh dipercayai lagi.
Kaum Cina yang sebelum ini percaya pemimpin-pemimpin DAP yang begitu lantang mengkritik kerajaan BN sebelum ini, rupa-rupanya tidak jauh bezanya dengan pemimpin-pemimpin MCA ketika menjadi menteri atau timbalan menteri.
Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian