Kay Kim digelar ‘ensiklopedia berjalan’

Iklan
Kay Kim bersama buku biografi tentang dirinya bertajuk 'I, KKK - The Autobiography of a Historian' pada awal 2017.

SEJARAWAN terkenal tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang meninggal dunia semalam terkenal dengan sikap merendah diri dan jujur dengan ilmunya sehingga diiktiraf sebagai seorang tokoh yang disegani ramai.

Mendiang yang meninggal dunia pada usia 82 tahun merupakan pelajar lepasan Universiti Malaya (UM) yang tidak pernah berhenti dalam bidang akademik apabila beliau menghabiskan beberapa dekad membentuk sejarah pendidikan negara.

Iklan
Iklan

Dilahirkan dalam keluarga Cina Peranakan di Kampar Perak pada 28 Mac 1937, Kay Kim pada mulanya mahu menjadi seorang pemain bola sepak tetapi akhirnya memilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Iklan

Selain dikenali sebagai seorang ahli akademik, beliau juga sentiasa menjadi rujukan masyarakat, media dan pemimpin mengenai aspek sejarah dan bidang sukan.

Beliau ialah tutor dan pensyarah Jabatan Sejarah pertama yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengajarannya, selain menggalakkan golongan sejarawan serta ilmuan untuk menulis sejarah Malaysia menurut kaca mata masyarakat tempatan dan menggunakan kaedah analitikal untuk mengkaji sejarah.

Iklan

Penerima Anugerah Merdeka 2018 itu merupakan seorang yang cukup cemerlang susulan sumbangan gemilangnya terhadap penyelidikan sarjana, penyusunan interpretasi semula sejarah Malaysia dan dedikasi sepanjang hayat dalam pendidikan sejarah.

Beliau berkhidmat selama lebih 50 tahun dalam bidang sejarah Universiti Malaya, menjadi pensyarah pertama pada tahun 1967 dan selepas itu memperoleh jawatan profesor serta dilantik sebagai Pengerusi Sejarah Malaysia dari tahun 1974 sehingga persaraannya pada tahun 1992. Beliau juga mengekalkan pejabatnya di universiti berkenaan selepas bersara.

Sultan Nazrin melancarkan buku autobiografi Kay Kim pada 2017.

Rangka Rukun Negara

Dalam Malaysia moden, beliau akan diingati sebagai salah satu tokoh penting dalam merangka Rukun Negara untuk memupuk perpaduan negara berikutan selepas rusuhan kaum 1969.

Beliau menerbitkan biografi tentang dirinya bertajuk I, KKK - The Autobiography of a Historian pada awal tahun 2017.

Pada tahun yang sama, beliau dianugerahkan Tokoh Akademik Negara ke-10 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya dalam dunia akademik.

Ketika melancarkan buku berkenaan pada 12 April 2017 lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggelar beliau sebagai ‘ensiklopedia berjalan sejarah Malaysia’.

Menurut Sultan Nazrin, buku itu gambaran puitis sejarah negara yang diceritakan melalui kaca mata beliau.

Buku ini bermula dengan sepotong-ayat: ‘Kenangan datang dengan gambaran, sejarah dengan fakta’ (Memory comes in impression, history in facts).

Mahaguru sejarah

Bagi anak didik mendiang, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, mendiang Kay Kim merupakan ‘pemandu’ sejarah Malaysia yang sangat profesional dan berintegriti.

Mengimbau kembali perkenalan beliau dengan tokoh dihormati itu, Ramlah yang juga pakar sejarah berkata, ia bermula lebih 40 tahun lalu sewaktu dia baharu memasuki UM sebagai pelajar manakala mendiang adalah pensyarah.

Kay Kim (berdiri kanan) bersama keluarganya.

Katanya, mendiang Kay Kim begitu dekat dihatinya dan pelajar Melayu yang lain kerana beliau merupakan satu-satunya pensyarah yang menggunakan bahasa Melayu ketika mengajar.

"Mendiang menjadi tempat saya dan pelajar Melayu yang lain menumpang kasih dan rujukan kami ketika itu.

"Sekitar tahun 1970-an lalu hampir semua pembelajaran di UM menggunakan bahasa Inggeris kerana rata-rata pensyarah orang asing jika ada pun dari Malaysia mereka bukan bangsa Melayu.

"Bayangkan saya anak Melayu yang datang dari kampung sudah pasti penguasaan bahasa Inggeris tidak begitu memuaskan, namun mendiang ibarat penyelamat kami pada waktu itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurut Ramlah lagi, kedudukan yang diperolehnya hari ini juga adalah hasil sumbangan jasa mendiang yang dianggap ‘mahaguru’ sejarah baginya.

"Perkara yang tidak mungkin saya akan lupakan adalah apabila mendiang menawarkan saya untuk menjadi tutor atau tenaga pengajar di bawahnya.

"Waktu itu saya merupakan wanita Melayu pertama yang ditawarkan dengan jawatan tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai sisi peribadi mendiang, jelas Ramlah, tokoh terkenal itu seorang yang sangat profesional dan mudah didekati sesiapa sahaja.

Katanya, mendiang turut mempunyai satu sikap tidak suka mengajar bersandarkan nota atau buku ketika di dalam kelas, sebaliknya lebih gemar bercerita mengenai isu-isu semasa.Dilahirkan dalam keluarga Cina Peranakan di Kampar Perak pada 28 Mac 1937, Kay Kim pada mulanya mahu menjadi seorang pemain bola sepak tetapi akhirnya memilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Beliau meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur pada kira-kira 10.13 pagi semalam.

Mendiang sebelum ini pernah membuat pembedahan pintasan pada Oktober tahun lalu dan keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan.

Beliau meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga orang anak iaitu Eddin, Rubin dan Mavin.