Wanita diserang lelaki kerana RM100

Iklan
Abdul Rahim

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita diserang lelaki dikenali gara-gara enggan menyerahkan wang RM100, dalam kejadian di lebuh raya baru Pulau Sekati, di sini, pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku selepas mangsa, 33, bersama seorang rakan perempuannya terserempak dengan suspek, 30-an, di hadapan Masjid Kubang Jela, di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, sejurus ternampak mangsa yang ketika itu berada di dalam sebuah kereta, suspek terus menghampirinya sebelum meminta wang RM100.

"Bagaimanapun, permintaan itu tidak diendahkan dengan alasan dia tidak mempunyai wang sebelum suspek naik hantu lalu mengacukan sebilah pisau ke arahnya.

Iklan

"Terkejut dengan tindakan suspek, mangsa segera mengajak rakannya beredar dari situ kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, suspek masih tidak berpuas hati dan terus mengejar kereta jenis Proton Satria dipandu rakan mangsa dengan motosikal.

Iklan

"Setibanya di lampu isyarat bawah jejantas di lokasi kejadian, suspek terus bertindak membaling spanar ke arah kenderaan dinaiki mereka.

"Tindakan itu menyebabkan cermin belakang kereta pecah sebelum suspek melarikan diri," katanya.

Kata sumber, tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut selain bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin kenderaan mangsa.

"Selain itu, kita juga akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau ke arah mangsa," katanya.