KOTA BHARU - Pakatan Harapan (PH) Kelantan menggesa pihak atasan Kementerian Pendidikan akur dengan arahan Menteri, Dr Maszlee Malik supaya mengekalkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu.
Timbalan Pengerusi Portfolio Pendidikan Tinggi dan Agama PH Kelantan, Dr Mohd Sharani Mohd Naim berkata, pihaknya terkejut selepas menerima surat pekeliling berhubung keputusan pihak berkenaan, tidak akan menghantar pelajar baharu ke IPG Kota Bharu bagi pengambilan Jun ini.
Menurutnya, surat yang diterima dua minggu lalu bukan sahaja mengejutkan kakitangan malah menimbulkan keraguan, kerana berbezaan keputusan antara menteri dengan kementeriannya.
"Kenapa boleh jadi begini, adakah keputusan pegawai atasan Kementerian Pendidikan lebih besar daripada menteri sendiri.
"Ini bermakna, 103 penuntut sedia ada akan menjadi pelajar terakhir tahun ini manakala 122 pensyarah akan diserap masuk ke kampus negeri lain," katanya pada sidang akhbar di IPG Kota Bharu hari ini.
Mohd Sharani berkata, sebelum ini juga sudah timbul kegusaran apabila hanya empat subjek dikekalkan di IPG Kota Bharu berbanding 15 subjek sedia ada.
Menurutnya, ia menyebabkan kerugian kepada kerajaan kerana kelengkapan dan kepakaran tenaga pengajar tidak dimanfaatkan.
Walaupun sebahagian kemudahan di IPG turut digunakan oleh kolej vokasional, namun katanya, janji yang diberi Maszlee sebelum ini perlu dipandang serius.
Ini kerana katanya, 17 kampus IPG seluruh negara tidak termasuk IPG yang ditutup, tidak mampu menampung bilangan pelajar baharu.
Pada 4 Mac lalu, Maszlee mengesahkan IPG Kota Bharu akan dikekalkan dan berperanan sebagai pusat melatih guru dari rantau Indochina.
Beliau berkata, langkah memperkasa dan memperluas peranan institusi itu dibuat selepas mengambil kira kebitaraannya dalam aspek latihan guru serta potensinya yang mampu meningkatkan ekonomi negeri ini.
Katanya, ia akan menjadi hab pendidikan serantau untuk meningkatkan lagi ekonomi negeri terutamanya produk pelancongan bagi negara-negara seperti selatan Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos.
[ARTIKEL BERKAITAN: IPGKKB jadi hab serantau]