KEMAMAN - Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa kerakusan nafsu kawan lelakinya apabila dirogol beberapa kali dalam kejadian di sebuah rumah di Geliga, di sini.
Kejadian dipercayai berlaku apabila remaja itu keluar dari rumah dengan menaiki kereta dengan penganggur berusia 25 tahun itu lebih kurang jam 4.45 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pada awalnya mangsa bersama suspek bersiar-siar di sekitar bandar Chukai sebelum suspek membawa mangsa pulang ke rumahnya.
Menurutnya, mangsa dikatakan tinggal di rumah suspek selama dua malam dan dalam tempoh itu mangsa dirogol beberapa kali.
Katanya, mangsa kemudian dihantar pulang ke rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu.
"Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang mengesyaki sesuatu berlaku kepada anak mereka selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah menyoal mangsa sebelum pelajar itu mengaku dirogol suspek.
"Berikutan itu satu laporan polis mengenai kes itu dibuat di Balai Polis Chukai kelmarin," katanya.
Susulan itu, kata Mohd Said, suspek berjaya ditahan di rumahnya kira-kira jam 9 malam pada hari sama laporan polis dibuat.
Tambahnya, suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.