KUALA LUMPUR - Polis menjumpai dua paket plastik disyaki ganja dalam sebuah treler yang membawa muatan kren yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 4.7 Jalan Pintas Rawang (Rawang Bypass), semalam.
Ketua Polis Daerah Selangor, Supt Lim Bak Phai berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang penunggang motorsikal parah selepas melanggar kren yang jatuh dari treler berkenaan.
Iklan
Iklan
Katanya kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu lelaki dalam perjalanan dari Ulu Yam ke Terengganu hilang kawalan ketika menaiki bukit mengakibatkan muatan kren yang dibawa jatuh.
”Sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kren yang terjatuh itu dan menyebabkan penunggang motosikal berusia 31 tahun itu cedera parah di kaki dan dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Bernama.
Lim berkata daripada siasatan ke atas treler berkenaan pihak polis menemui dua paket plastik dipercayai ganja manakala pemandu lori berusia 47 tahun itu didapati berada dalam keadaan khayal.
Katanya pemandu treler berkenaan turut mengalami kecederaan di leher dan kaki dan dihantar ke hospital yang sama dengan diiringi oleh seorang anggota trafik.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua arah jalan di tutup sementara waktu dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama