UMNO dakwa Tun M masih was-was serah kuasa kepada Anwar

Iklan
Ahmad Jazlan menyampaikan sumbangan zakat kepada pelajar asnaf di Pusat Transformasi Ilmu, Kampung Cherang di sini.

MACHANG - Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat masih teragak-agak berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila masih berteka teki mengenainya, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata, dalam suasana politik pada hari ini, di mana ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin jelas, proses peralihan kuasa tersebut dilihat samar-samar dan diburukkan lagi dengan semangat berpuak-puak antara penyokong kedua-dua pemimpin itu.

Iklan
Iklan

"Ini pendapat peribadi saya... saya melihat Tun M ( Dr Mahathir) penuh dengan perasaan was-was untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri tersebut.

"Jika beliau betul-betul nak bagi jawatan tersebut, tetapkan tarikh untuk melaksanakan peralihan kuasa dan bukannya biarkan rakyat terus berteka teki mengenainya tanpa asas yang jelas," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas majlis agihan zakat kepada pelajar asnaf dan miskin yang dapat melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta 2019 di Pusat Transformasi Ilmu, Kampung Cherang di sini.

Seramai 200 pelajar menerima sumbangan tersebut yang bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa terutamanya pada Ramadan dan menjelang Syawal ini.

Iklan

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Machang, Wan Mohd Adnan Wan Aziz.

Tambah Ahmad Jazlan, selagi tarikh tidak ditetapkan dengan jelas, ia bermakna Dr Mahathir masih mempertimbangkan hasrat tersebut dan peralihan kuasa itu masih di awang-awangan.

"Pelantikan Perdana Menteri baharu bukan sahaja membabitkan politik tetapi urus tadbir negara yang membabitkan masa depan rakyat terutamanya dalam menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Tambahnya, selepas setahun diberi mandat, kerajaan PH bukan sahaja gagal mengotakan janji kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu tetapi gagal secara keseluruhannya termasuk urus tadbir negara.

"Apa yang lebih baik dilakukan oleh kerajaan sekarang berbanding dahulu, daripada segi agama? Membela nasib orang Melayu? Ekonomi? Pendidikan? Keharmonian kaum dan menjaga kebajikan golongan B40? Semua ini dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya tak punya banyak masa: Tun M

Terdahulu, Dr Mahathir mengakui hanya memegang jawatan Perdana Menteri hanya untuk tempoh sementara.

"Saya cuma Perdana Menteri sementara. Jika saya diminta berundur, saya akan pergi kerana tiada tarikh khusus yang diberikan.

"Saya hanya dimaklumkan bahawa saya Perdana Menteri dari pakatan pembangkang (sebelum PRU14) tetapi mereka (PH) tidak memperincikan tarikhnya. Mereka kata saya hanya Perdana Menteri sementara dan akan ada orang lain mengambil alihnya. Saya fikir mungkin sebelum PRU akan datang," katanya.