KUALA TERENGGANU - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan hanya sebilangan kecil orang ramai mengambil bahagian dalam proses konsultasi rakyat.
Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata, sejak pelancaran kertas konsultasi rakyat pada 16 Mei lalu, pihaknya hanya menerima 3,567 penyerahan maklum balas dalam talian berbanding lebih 33,000 pengunjung sudah melihat kertas tersebut.
"Selain konsultasi rakyat dalam talian, PTPTN juga menambah usaha ini menerusi sesi libat urus (town hall) di seluruh negara. Sehingga kini, PTPTN sudah melaksanakan sesi town hall terbuka kepada orang ramai di Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu.
"Dua lagi sesi akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah pada 29 Mei dan Universiti Malaysia Sarawak pada 31 Mei ini," katanya.
Katanya, fokus PTPTN tertumpu kepada usaha menggalakkan lebih ramai melibatkan diri dalam proses memberikan maklum balas daripada sekarang hingga 13 Jun nanti.
"Ia bagi memastikan pelbagai golongan mempunyai kepentingan dalam membuat keputusan dasar PTPTN diwakili dengan sebaiknya untuk membantu Kabinet membuat keputusan seimbang.
"Idea dikumpulkan daripada sesi perbincangan meja bulat bersama pihak berkepentingan sebelum ini dikemukakan bagi menggalakkan maklum balas berorientasikan penyelesaian. Maklum balas rakyat akan menjadi sebahagian daripada penyerahan akhir kepada Kabinet untuk proses pembuatan keputusan," katanya.
Mengulas lanjut, Sheikh Shahruddin berkata, kerajaan dan PTPTN berdepan situasi mencabar untuk menjadikan bayaran balik pinjaman pelajar yang kurang membebankan di samping memastikan kesan kewangannya tidak menjejaskan kelangsungan badan itu atau memberi kesan tidak wajar terhadap kewangan negara.
"Ia mungkin sudah dijangka bahawa para peminjam akan mengambil bahagian dalam mengutarakan keperluan mereka, namun rakyat umum juga harus mengambil tahu tentang isu ini supaya hasil usaha konsultasi rakyat ini lebih bermakna dan mewakili pendapat semua pihak,” katanya.