Nilai - Seramai empat cedera dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan termasuk sebuah lori kontena dan motosikal di Jalan Batang Benar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu dipercayai berlaku apabila lori kontena muatan air mineral hilang kawalan.
"Berdasarkan siasatan awal, lori yang bergerak dari arah Pajam ke Nilai dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh 12 kenderaan di laluan tersebut.
"Kemalangan menyebabkan seramai empat pemandu cedera iaitu pemandu lori mengalami luka di tangan kanan, pemandu Perodua Kancil patah kaki kanan, pemandu Proton Exora luka di tangan kanan dan pemandu lori Nissan mengalami luka tangan kanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, pemandu lori berusia 40 tahun akan menjalani saringan ujian air kencing dan kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan jam 5.49 petang.
"Anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan Mantin ke lokasi kejadian namun kesemua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.
"Masing-masing menerima rawatan awal oleh pasukan perubatan juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.