SHAH ALAM - Seramai 150 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai Children #QuranHour dan Iftar #MyZuriat yang berlangsung di Masjid An-Naim Kampung Jalan Kebun, Ahad lalu.
Pengerusi Pertubuhan Kemajuan Kanak-Kanak Zurriyat Malaysia (Zurriyat), Dayang Liliy Maznah Abang Muas berkata, peserta terlibat terdiri daripada anak-anak yatim dan asnaf yang berdaftar dengan masjid berkenaan.
Katanya, program tersebut bersesuaian dengan Ramadan yang dikenali dengan bulan al-Quran.
"Kita mahu anak-anak ini dekat dengan kitab suci al-Quran. Rugi sekiranya bulan Ramadan ini kita tidak terapkan rasa sayang kepada al-Quran dalam kalangan anak-anak ini.
"Apa yang diharapkan dengan penganjuran program ini, kita tidak mahu anak-anak ini melihat al-Quran itu sebagai suatu yang janggal dan membaca tanpa mengetahui maksud isinya,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, Children #QuranHour telah dijalankan pihaknya selama lima tahun dan ini adalah kali kedua dilaksanakan pada bulan Ramadan.
"Saya berharap ia tidak hanya terhenti setakat bulan Ramadan sahaja tetapi ia perlu berlangsung sepanjang masa,” katanya.
Menurutnya, selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada program pendidikan dan motivasi bagi asnaf, anak yatim dan golongan B40, pihaknya berusaha mendekatkan ummah kepada al-Quran.
"Sekiranya ada mana-mana pihak atau komuniti setempat ingin mengadakan program di tempat mereka, kita akan usahakan kerana kita mempunyai kepakaran dan fasilitator yang telah dilatih,” katanya.