Beraya dalam khemah

Iklan
Khemah menjadi rumah penduduk di kampung ini berteduh selepas kediaman mereka musnah. - Foto Sinar Harian

LOMBOK - Menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba kurang seminggu, pastinya umat Islam sibuk membuat persiapan dan menghias rumah bagi meraikan kemenangan sebulan berpuasa.

Berbeza bagi 200 keluarga salah sebuah perkampungan di Lombok Timur, Loang Tuntel, di Indonesia yang hanya dapat beraya di dalam khemah selepas kediaman mereka musnah dalam bencana gempa bumi, Julai tahun lalu.

Iklan
Iklan

Selepas 10 bulan, hanya kanvas yang melindungi mereka daripada hujan dan panas malah lebih malang lagi apabila mereka mendakwa tiada bantuan diterima sejak gempa pertama yang melanda kawasan itu.

Kawasan perkampungan yang agak di pedalaman dengan laluan sempit dan tanah merah mungkin menjadi faktor bantuan tidak sampai ke kampung itu.

Iklan

Salah seorang penduduk, Muslihun Inun, 35, yang kehilangan rumah dalam bencana itu akui kehidupan mereka sekeluarga sukar malah kanvas yang dijadikan dinding dan atap khemah juga sudah semakin uzur.

Muslihun berdiri di tepi tapak rumahnya yang musnah selepas gempa pertama melanda kampung itu, Julai lalu. - Foto Sinar Harian

"Sudah tidak ada rumah yang layak diduduki di kampung ini, semua retak atau roboh. Sejak gempa pertama Julai tahun lalu, kami semua tinggal dalam khemah. Susah tinggal dalam khemah ini, waktu tengah hari panas terpaksa cari pokok berteduh, kalau hujan bocor.

Iklan

"Untuk Aidilfitri pertama di khemah ini memang sedih kerana sudah tidak ada rumah. Kami berbuka puasa pun di luar di tapak rumah lama," katanya yang tinggal bersama suami, bapa dan dua anaknya.

Muslihun yang bekerja sebagai buruh membuat batu bata berkata ketika kejadian, dia seorang diri di rumah baru selesai menunaikan solat Isyak.

"Waktu itu malam Isnin, selepas solat Isyak saya di dalam rumah dan tiba-tiba semua bergegar jadi saya lari tinggalkan rumah menuju ke jalan. Saya lihat ramai yang sudah bertempiaran lari keluar rumah juga.

"Kami akhirnya bina khemah untuk berteduh di tanah lapang tiada siapa yang berani balik ke rumah. Apabila pulang saya lihat rumah saya sudah roboh," katanya yang membina khemah di atas tapak rumah lamanya.

Keadaan rumah penduduk yang musnah tidak dapat didiami selepas gempa bumi, tahun lalu. - Foto Sinar Harian

Kumpul duit, berhenti kerja di AS bantu orang kampung

Seorang pemuda, Fathir Azani Sahabudin, 29, yang bekerja di syarikat perkapalan di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini berhenti kerja demi membantu orang-orang di kampungnya.

Menurutnya, keputusan diambil untuk mengumpul dana dengan sahabat-sahabat di sana termasuk menyisihkan gaji saya setiap bulan untuk dibawa pulang selepas mendapat tahu kampungnya terjejas.

"Apabila saya sampai di sini saya terkejut melihat mereka hidup dalam khemah, tanpa memikirkan soal kebersihan diri kerana di khemah itulah mereka makan, memasak dan tidur.

"Tidak ada langsung bantuan mereka terima, jauh sekali rumah sementara. Jadi wang yang saya kumpulkan itu saya gunakan untuk bantu 200 keluarga di sini," katanya.

Kediaman penduduk sudah tidak selamat didiami. - Foto Sinar Harian

Graduan Ijazah Sastera Inggeris dari Universiti Canberra di Australia itu berkata, selepas bencana, ekonomi di kawasan itu lumpuh dan kadar jenayah meningkat kerana masing-masing terdesak untuk meneruskan hidup.

"Psikologi mereka terganggu, jenayah meningkat jadi saya ambil inisiatif buat kelas agama sebagai pengubat jiwa mereka. Trauma itu pasti ada malah sampai sekarang tak ada yang berani tidur di dalam rumah.

"Alhamdulillah setelah beberapa ketika mereka sudah mula menerima hakikat dan Alhamdulilah apabila mereka ada rezeki, semuanya dikongsi walau sedikit kerana mereka tahu, apa yang mereka rasa turut dirasai orang lain di sini," katanya yang berhenti kerja sejak beberapa bulan lalu demi berbakti kepada komunitinya.

Perlukan 200 rumah sementara

Pelaksana Pusat Keadilan Peduli Umat Indonesia (Human Initiative Indonesia), Dedy Aris Sandi berkata, perkampungan itu belum menerima sebarang bantuan daripada kerajaan sejak dilanda bencana Julai tahun lalu.

"Di Luang Tuntel ini kita perlukan 200 untuk ganti rumah mereka yang musnah selepas gempa bumi dan sehingga kini 200 keluarga ini masih tinggal di khemah.

"Jadi buat permulaan kita akan usahakan 50 unit pertama untuk dibina di sini selepas Aidilfitri untuk meringankan beban mereka. Kampung ini sekitar 30 kilometer dari kawasan bandar agak jauh dengan keadaan jalan kampung," katanya.

Kampung Dusun Dasan Baru di Lombok Timur menerima masjid baharu bernilai RM100,000 daripada sumbangan rakyat Malaysia selepas masjid asal musnah dalam gempa bumi Julai lalu. - Foto Sinar Harian

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar pula berkata, rumah senyum itu diperlukan penduduk di situ sementara menanti bantuan perumahan daripada kerajaan Indonesia.

"Daripada 200 rumah itu sekitar 80 rumah memang rosak teruk sama ada roboh, tak selamat diduduki atau ada keretakan major. Jadi perancangan kita untuk bina rumah sementara ini sama ada di tapak rumah mereka atau di kawasan tanah lapang.

"Rumah senyum ini biasanya hanya bertahan sehingga setahun setengah dengan harapan untuk sementara itu mereka mendapat rumah daripada kerajaan. Kita akan usahakan tahun ini juga.

"Banyak tempat kami pergi sebelum ini, belum pernah jumpa lagi jalan ke kampung yang tidak ada jalan tar, kampung ini pertama. Saya pun terkejut. Memang pedalaman jadi jentera berat memang tak boleh masuk kerana laluannya kecil," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Econsave, Mas Imran Adam mengesahkan pihaknya tabung untuk mangsa gempa di Lombok akan dilancarkan semula bagi menyediakan 50 unit rumah sementara pertama kepada penduduk di kampung itu.

"Selepas ini kita akan lancarkan satu lagi tabung untuk rumah senyum Lombok kerana kalau kita lihat setelah hampir setahun bencana itu tapi mereka masih tinggal dalam khemah.

"Kita sudah buat tinjauan, hantar 200 bungkus makanan baru-baru ini dan memang betul mereka masih tinggal dalam khemah dan perlukan rumah senyum," katanya.

Menurutnya, untuk permulaan Econsave akan cuba mendapatkan dana untuk bina 50 buah rumah senyum itu dulu dan sebanyak RM50,000 diperlukan untuk membina setiap rumah sementara dengan kos RM1,000.

ARTIKEL BEKAITAN: Masjid baharu beri semangat Aidilfitri di Lombok