Ayuh gemakan surah al-Kahf

Iklan
Persiapan program World #QuranHour, semalam. - Foto Sinar Harian Zahid Izzani (Gambar kecil: Marhaini)

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak umat Islam di seluruh dunia meluangkan masa selama satu jam bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang ini untuk bersama-sama menggemakan surah al-Kahf sempena program World #QuranHour.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata, tidak kira di mana sahaja anda berada sama ada dalam perjalanan untuk pulang ke kampung atau sedang menyiapkan persiapan menyambut Aidilfitri, berhentilah seketika untuk membuka al-Quran dan membaca surah al-Kahf yang mempunyai 110 ayat.

Iklan
Iklan

"Apabila seluruh dunia memperdengarkan dan menggemakan bacaan surah al-Kahf, ia seolah-olah membawakan semangat solidariti ummah.

"Setakat ini hampir 3,000 hotspot yang berdaftar dengan WUIF dan kita jangka banyak lagi hotspot yang tidak berdaftar, tetapi sama ada berdaftar atau tidak, kita mahu tahun 2019 menjadi sejarah surah al-Kahf sekali gus melahirkan satu semangat dan kekuatan secara bersama,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Iklan

Marhaini berkata, seramai 11 qari di lokasi perdana majlis World #QuranHour iaitu di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan membacakan secara keseluruhan surah al-Kahf.

"Kepada yang tidak berkesempatan untuk hadir ke lokasi perdana majlis World #QuranHour boleh mengikutinya secara langsung menerusi siaran di Astro Oasis bermula jam 11.30 pagi hingga 1 petang dan juga saluran lain seperti TV Al-Hijrah dan SinarTV,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, pada tahun ini penganjuran World #QuranHour sedikit berbeza kerana turut diselitkan sesi Resolusi Al-Kahf setelah penghayatan isi al-Quran bagi umat Islam menghadapi cabaran akhir zaman.

"Selain itu, kita mahu menggemakan Masjid Sultan Ahmad Shah di UIAM ini dengan suara peserta sebagai tanda sokongan.

"Seramai 11 qari akan membaca satu muka surat setiap seorang dan ketua qari akan membaca satu muka surat lebih sepanjang berlangsungnya majlis World #QuranHour ini,” katanya.