Mahkamah putuskan kemenangan Tok Mat terbatal

Iklan
Datuk Seri Mohamad Hasan
SEREMBAN - Mahkamah Pilihan Raya Seremban hari ini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU14 bagi kerusi Dun Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam pempetisyen, Dr S Streram dan responden Mohamad dalam perbicaraan yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Azimah dalam penghakimannya berkata, tidak wujud sebarang undang-undang pilihanraya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

"Ini diakui peguam responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulisnya, namun masih cuba menegakkan benang yang basah.

"Sebagai institusi bebas sewajarnya melaksana segala tugas diberikan bawah undang-undang pilihan raya bagi memastikan proses berjalan dengan bebas, adil dan telus.

"Dengan jawapan negatif itu, tindakan menghalang adalah satu tindakan dan perlakuan diluar undang-undang dan peraturan pilihan raya. Tindakan sedmikian tidak munasabah dan melanggar tugas pengendalian pilihan raya," katanya.

Sehubungan itu katanya, mahkamah memerintahkan satu pilihanraya kecil untuk kawasan Dun Rantau diadakan serta merta.

Streram telah memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu bagi memohon supaya mahkamah membatalkan keputusan SPR yang memutuskan Mohamad menang tanpa bertanding pada PRU14, 9 Mei lalu.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Pegawai Pilihan Raya Dun Rantau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Amino Agos dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Beliau turut meminta SPR mengadakan pilihan raya kecil untuk kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, peguam responden kedua dan ketiga menarik balik permohonan mereka untuk membatalkan petisyen Dr Streram ketika prosiding pada 8 Ogos lalu.

Azimah kemudian menetapkan 12, 13, 14, 27, 28 September, 1 dan 2 Oktober untuk mendengar petisyen Dr Streram terhadap Mohamad, termasuk Amino Agus dan SPR.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala pasukan empat anggota Dr Streram diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdullah.

Manakala Mohamad memfailkan bantahan petisyen tersebut pada 23 Jun lalu, namun ditolak dan perbicaraan bermula 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober.