UPM sedia sembilan bas percuma buat 400 pelajar asnaf pulang beraya

Iklan
Sebahagian daripada 400 pelajar asnaf UPM dapat pulang beraya di kampung halaman masing-masing secara percuma tajaan Wakaf UPM melalui program Jom Balik Raya.

SERDANG - Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan sembilan bas untuk membawa 400 pelajar asnaf pusat pengajian itu ke kampung halaman masing-masing di seluruh Semenanjung Malaysia secara percuma hari ini.

Program yang diberi nama Jom Balik Raya bersama Wazan itu memperuntukkan RM20,000 bagi menaja sembilan bas berkenaan.

Iklan
Iklan

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris yang melepaskan konvoi berkenaan pada jam 9 pagi itu berkata, beliau berharap perkhidmatan yang diberikan itu dapat mempermudahkan golongan pelajar asnaf UPM untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

"Saya bagi pihak universiti mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman kepada pelajar-pelajar untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang. Semoga perjalanan ini dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi masing-masing," katanya.

Iklan

Hadir sama ialah Pengarah Wazan UPM, Dr Razali Othman, Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf, Zuhaimi Abdul Rahim dan Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu UPM, Nuruliman Ibrahim.

Seorang pelajar, Muhammad Faiz Abdul Fattah berkata, program tersebut sangat baik dan patut diadakan pada setiap tahun menjelang akhir Ramadan.

Iklan

"Saya rasa terharu kerana pelbagai bantuan kewangan disediakan oleh Wazan UPM untuk pelajar yang kurang kemampuan khususnya dalam kalangan asnaf,” katanya yang akan pulang ke Sungai Petani.

Wan Noratikah Zulkifli, pelajar yang akan pulang ke Pasir Mas berkata, program itu dapat membantu bagi meringankan kos pengangkutan ramai pelajar selain memudahkan urusan perjalanan masing-masing.