MAKKAH - Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh bin Taher Benten berkata, pihaknya akan membuat kajian menyeluruh berhubung permohonan Malaysia untuk menambah kuota jemaah haji tahun ini.
Beliau berkata, sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah berbincang dan membuat keputusan dalam penentuan kuota haji setiap negara.
"Kuota setiap negara diagihkan mengikut apa yang dibincangkan...kuota rasmi Malaysia juga telah diberikan, tetapi terdapat permohonan penambahan dan ia tentu sekali perlu dikaji terlebih dahulu.
"Permohonan ini dibuat (di peringkat tertinggi) melalui Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan InsyaALLAH akan dikaji dari sudut persediaan dan (kapasiti) tempat untuk jemaah Malaysia,” katanya dalam sesi soal jawab bersama media tempatan dan antarabangsa sempena sidang kemucak OIC ke-14 di sini.
Turut serta dalam sesi itu 390 wartawan dari 57 negara anggota OIC dan 59 stesen televisyen antarabangsa yang membuat liputan sidang kemuncak bermula Jumaat ini.
Bertemakan:"Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-Sama menuju ke arah Masa Depan", dijangka dihadiri para pemimpin negara anggota OIC untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.
Bermula dengan Mesyuarat Rasmi Pegawai-Pegawai Kanan, hasilnya akan dikemukakan kepada mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC yang telah diadakan di Jeddah pada Rabu.
Deraf akhir pernyataan rasmi akan diserahkan ke Sidang Kemuncak Islam itu untuk diterima pakai. Sidang kemuncak itu juga dijangka akan mengeluarkan 'Deklarasi Makkah' dan pernyataan akhir, untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam.
Sementara itu, Saleh turut memuji pengurusan jemaah haji Malaysia dan menyifatkan pengurusan haji negara ini bersistematik dan terlatih.
"Terima kasih kepada Malaysia dan Tabung Haji (TH) atas pengurusan yang sangat baik dan membantu jemaah haji mengerjakan ibadat mereka,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat berkata, Dr Mahathir telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan permohonan itu daripada kerajaan Arab Saudi. - Bernama